Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi tetap AMK, timbalan dipecat beri amaran risiko PKR diharamkan
Diterbitkan:  Nov 28, 2019 3:40 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Pengerusi Tetap Ketua Pemuda PKR (AMK), Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad yang dipecat daripada jawatan itu memberi amaran tindakan tersebut boleh menyebabkan risiko PKR diharamkan.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka meminta kepimpinan parti menyiasat pemecatan itu serta merta secara profesional.

“Justeru itu, kami mendesak agar Biropol Pusat dengan serta-merta menyiasat hal ini dengan tanpa prejudis dan profesional kerana ia melibatkan status sah ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan ia melibatkan ROS.

“Kita tidak mahu PKR juga bakal diharamkan seperti Umno,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Semalam, setiausaha AMK, Ahmad SYukri Razak dalam suratnya memaklumkan kedua-duanya dilucutkan jawatan kerana ada keraguan yang timbul daripada pemilihan mereka.

Berdasarkan surat yang dilihat Malaysiakini, pengiraan secara manual mendapati mereka menerima jumlah undi yang lebih tinggi daripada jumlah perwakilan yang layak mengundi.

Isu berkenaan kelayakan umur mereka turut dibangkitkan dalam surat itu.

Ketika dihubungi, Ahmad Syukri mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa surat itu tulen.

Mizan Adli dan Mohd Ramly bagaimanapun menyanggah alasan pelucutan jawatan mereka seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.

Mereka mendakwa usia untuk memegang jawatan berkenaan tidak terbatas  tidak terbatas untuk mereka yang berumur 35 tahun ke bawah sahaja.

Mereka turut mendakwa adalah “logik”mendapat  jumlah undian tinggi seperti didakwa, memandangkan ahli parti tidak dinyatakan hanya boleh mengundi sekali sahaja serta pemilihan pula dilakukan dewan dalam keadaan tidak teratur.

“Kami sekali lagi tidak teragak-agak untuk bangkitkan isu ini di media massa jika suara akar umbi tidak didengari.

“Kami dipilih oleh akar umbi dan sewajarnya keputusan diserahkan kepada mereka dan bukan kepimpinan jumud dan sempit yang pincang dari ideologi asal PKR,” kata mereka lagi.

Pemecatan itu berlaku tengah-tengah perseteruan antara kem Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin Ali.

Sebelum ini nama Azmin digugurkan daripada merasmikan Kongres AMK yang dijadualkan 6 Dis depan, menyebabkan bantahan daripada 21 pimpinan sayap parti itu.

Bagaimanapun, Ketua AMK, Akmal Nasir yang dilihat berpihak kepada Anwar berkata keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan AMK yang berpunca daripada kelemahan Azmin sendiri kerana sering gagal menghadiri mesyuarat parti.

Jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap tidak mempunyai peranan besar dalam operasi harian parti tetapi merupakan jawatan penting dalam kongres memandangkan merekalah yang akan mempengerusikan mesyuarat. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS