WAWANCARA | Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Muafakat Nasional bukan setakat gabungkan dua parti pembangkang.
Sebaliknya, kata Khaled, kerjasama antara Umno dan PAS adalah untuk menjawab kebimbangan orang Melayu dan rakyat Malaysia kepada kerajaan PH.
"Jadi, ia membuat orang Melayu bersama. Orang Melayu bersetuju untuk berpadu. Ia bukan soal Umno atau PAS, tapi Umno dan PAS melakukan gerakan untuk menyatukan semua orang Melayu bawah Muafakat Nasional. Ini bukan soal Umno dan PAS sahaja.
"Kalau kita hanya lihat (Muafakat Nasional) hanya tentang Umno dan PAS, kita salah," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini kelmarin.
Menurut bekas menteri besar Johor itu lagi Muafakat Nasional yang menyatuhkan Umno dan PAS diterima baik kerana masyarakat Melayu di mana-mana mahukan penyelesaian kepada kemelut yang melanda.
Dalam keadaan Melayu berpecah-belah, katanya, Muafakat Nasional menyediakan jawapan sekali gus penyelesaian buat mereka.
Beliau turut menyatakan Muafakat Nasional meletakkan faktor Melayu sebagai teras.
"Muafakat nasional itu, untuk ianya dijayakan, pertamanya ia mesti ada penyatuan ummah yang melahirkan kekuatan bagi orang Melayu, mencipta daya tahan yang menterjemahkan orang Melayu sebagai teras.
"Tapi dalam kita (Melayu) sebagai teras pun, kita mahu orang Cina dan India bermuafakat dengan kita. Maksudnya, Melayu sebagai teras tetapi kaum lain dijaga dan dipelihara serta dilindungi seperti dalam perlembagaan," katanya.
Tak diterjemah di negeri
Mengulas lanjut, Khaled berkata Muafakat Nasional adalah konsep, bukannya sebuah entiti seperti parti.
Kata Khaled, Muafakat Nasional belum didaftarkan sebagai suatu pertubuhan.
Ditanya keberkesanan Muafakat Nasional, Khaled mendakwa apa yang Umno dan PAS lakukan itu berbeza daripada apa yang dibawa PH.
Katanya Muafakat Nasional menjadi satu produk BN, bertentangan dengan PH yang didakwanya membawa produk Malaysian Malaysia yang gagal diberikan definisi malah cuba mengubah karakter Malaysia.
Langkah itu, kata Khaled, tidak diterima orang Melayu.
Bagaimanapun untuk rekod, Malaysian Malaysia adalah dasar yang pernah dibawa DAP suatu ketika dulu namun kini mempromosikan dasar kesederhanaan Malaysia (middle Malaysia).
Pada masa sama, Khaled mengakui tahap penerimaan Muafakat Nasional di peringkat negeri sedikit berbeza berbanding di peringkat pusat. Misalnya, kegagalan PAS atau Umno menterjemah kerjasama tersebut di peringkat kerajaan negeri yang mereka kuasai.
Terdahulu, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah memberi bayangan agar pemimpin parti itu diserap ke dalam kerajaan Terengganu pimpinan PAS.
"Kita tak mengenakan syarat setakat ini, tetapi atas nama Muafakat Nasional, ada ubi tentu ada batas, kita tak menuntut, tapi menanam ubi mestilah ubi itu berisi.
"Tak menuntut juga, jika ada atas nama kemuafakatan jika rasa ada kebersamaan, mungkin boleh diperlihatkan komposisi kerajaan negeri kelak," katanya pada akhir Okt lalu.
Beberapa hari kemudian Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendedahkan parti itu ditawarkan jawatan exco oleh Umno Perlis namun mereka tidak menerimanya.
Pendirian tersebut dilihat penganalisis sebagai langkah politik PAS mengelak untuk menyerap Umno dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Baca Husam cadangkan Kelantan lantik Md Alwi TMB kedua
Kata Khaled perlu diakui bahawa ada perbezaan penerimaan di sesetengah tempat dan Umno serta PAS memang menjangkakannya apabila mereka berpakat.
"Kerana itu semua (tidak) serta-merta akan sempurna. Ia perlu melalui peringkat demi peringkat. Dan tidak boleh ada pendekatan yang diterima secara keseluruhan.
"Jadi semua itu akan ditangani oleh kepimpinan tertinggi. Kita sedar dan kita akan tangani," katanya.
Ditanya kenapa PAS dan Umno masih agak teragak-agak, Khaled berkata ia masih diperingkat awal.
"Apa yang penting, pertama, mereka boleh berdakap antara satu sama lain, mereka bukan lagi berseteru macam dulu," katanya.
Beliau juga ditanya mengenai kemungkinan PAS dan Umno akan berdepan kesukaran apabila tiba masa untuk pengagihan kerusi.
Selepas berseteru berpuluh-puluh tahun, pemerhati menjangkakan isu pembahagian kerusi akan menjadi ujian getir buat Umno dan PAS.
Namun bagi Khaled, ia tidak akan menjadi terlalu rumit. Katanya, formula pembahagian kerusi akan melihat kepada kedudukan, kekuatan dan pengaruh parti terbabit.
Katanya, PAS mendapat banyak sokongan di wilayah utara dan Pantai Timur, manakala Umno berpengaruh di Pantai Barat dan selatan Semenanjung Malaysia.
"Sangat jelas dan kita tahu mana (kerusi) menang, mana kalah.
"Kalau (di kerusi itu) PAS dan Umno kalah, siapa undi yang tinggi. Apa yang paling penting ialah kedua-dua pihak sentiasa berjumpa dan berbincang," tambahnya.
Beliau juga menegaskan Muafakat Nasional itu bukan sandiwara kedua-dua parti atau persefahaman yang dibuat untuk memperdaya orang ramai.
Ditanya sama ada Muafakat Nasional sudah mempunyai calon perdana menteri bagi memberi keyakinan kepada orang ramai menyokong mereka, Khaled berkata buat masa ini isu tersebut tidak timbul.
Katanya akan tiba suatu ketika nanti akan ada nama yang dicadangkan untuk menjadi perdana menteri.
"Masanya akan tiba," katanya.
Wawancara 1: MCA tak boleh berlawan dengan DAP
- Al-Abror Mohd Yusuf turut menyumbang kepada berita ini.