Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MBI Perak: Kami faham sensitiviti, hanya teroka nadir bumi
Diterbitkan:  Nov 27, 2019 9:44 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Perbadanan Menteri Besar Perak (MBI) menyedari mengenai bencana radioaktif di Bukit Merah pada tahun 1990-an selepas menandatangani memorandum persefahaman dengan firma China untuk memulakan perlombongan nadir bumi di negeri ini.

"Kami diberitahu terdapat satu mineral dikenali sebagai lantanida di negeri Perak ini dan kami amatlah memahami sensitiviti nadir bumi ini. Disebabkan itu kami bekerja rapat dengan agensi kerajaan negeri dan juga di peringkat persekutuan.

"Ia tidak bermakna kita tak boleh meneroka dan melihat kerana ia merupakan satu keupayaan pendapatan untuk kerajaan negeri. Tapi kita amatlah berhati-hati menuju ke arah tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutif MBI Perak, Anuar Zainal Abidin pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini yang turut dirakam lensa KiniTV.

Awal hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengkritik kerajaan Perak  dengan menyatakan ia tidak belajar daripada bencana melibatkan kilang Asian Rare Earth (ARE) Bukit Merah yang menyebabkan keracunan radioaktif serius di kalangan penduduk sekitar.

Asian Rare Earth merupakan anak syarikat Mitsubishi Chemicals, yang menutup kilangnya pada tahun 1992 berikutan kebocoran radioaktif.

Anggota Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman juga mengkritik kerajaan Perak kerana tidak belajar daripada kemarahan orang ramai terhadap kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Mengulas lanjut, Anuar mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana membangkitkan kebimbangan berkenaan.

"Kami mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan NGO-NGO termasuk Sahabat Alam. Kami juga ingin tekankan kami pun amatlah prihatin tentang hal ini dan tak nak buat sesuatu tanpa ujian mendalam," katanya.

Beliau menegaskan bahawa MBI tidak akan membenarkan perlombongan itu diteruskan jika ia didapati tidak selamat.

"Kita hendak melihat sama ada ia selamat atau tidak selamat. Kalau tak selamat kami pun tak berani nak buat.

"Disebabkan itu kita sedang bekerjasama dengan pakar-pakar yang ada di negeri dan persekutuan. Kita pergi ke China untuk lihat selamat atau tidak," katanya.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 16 Nov lalu mengumumkan telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum antara MBI dan Chinalco GXNF Rare Earth Development Co Ltd untuk "menerokai secara sistematik unsur nadir bumi" di Perak.

Perkara itu berlaku walaupun kontroversi membabitkan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Pahang. 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan kritikan berhubung keenganan untuk menutup kilang Lynas berkenaan.

Walaupun ia tidak termasuk dalam manifesto PH, beberapa pemimpin utamanya pernah berjanji untuk menutup kilang berkenaan jika gabungan itu berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Kerajaan PH sebaliknya menetapkan tempoh masa selama empat tahun untuk Lynas membina fasiliti baru di Australia di mana sisa radioaktif dari nadir bumi yang dilombong di Mount Weld di Australia Barat akan dikeluarkan terlebih dulu sebelum dihantar ke Malaysia untuk proses seterusnya.

Sementara itu, bagi sisa radioaktif yang sedia ada dan yang akan dikeluarkan dalam tempoh sementara, Lynas dikehendaki membina kemudahan pelupusan kekal untuk penyimpanan sisa berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS