Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan membuat pendirian berhubung isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng selepas siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa KDN untuk menyiasat bagaimana abu berkenaan dibawa masuk.
"Pendirian selepas siasatan KDN," katanya pada sesi penggulungan rang undang-undang (RUU) perbekalan 2020 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat, petang tadi.
“Saya akan dedahkan pandangan itu bila saya buat kenyataan nanti, ada juga pandangan lain, ini ada pelbagai perbezaan, saya akan buat pandangan selepas KDN buat siasatan,” tambahnya.
Jelasnya, apabila isu itu timbul beliau terus mendapatkan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Mohd Noor yang terbabit dalam rundingan damai pada 2 Dis 1989.
Pada sesi perbahasan pagi tadi, pembangkang menggasak Mohamad supaya menyatakan pendirian berhubung kemasukan abu mayat Chin Peng ke negara ini.
Wakil rakyat pembangkang menyifatkan tindakan itu penghinaan terhadap bekas perajurit yang telah mengorbankan nyawa menentang komunis.
Semalam, kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng pada sidang akhbar, mendedahkan abu bekas pemimpin PKM itu telah dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.
Separuh daripada abunya ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak iaitu di negeri kelahirannya dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak ini.
Pembelian 6 helikopter tempur
Sementara itu Mohamad berkata Kabinet akan membuat keputusan berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G dalam tempoh terdekat sebelum akhir tahun ini.
Katanya, kementerian itu sudah mendapat laporan dan pandangan dari Pejabat Peguam Negara dan Bahagian Dasar Kementerian Pertahanan berhubung perkara berkenaan.
"Kita telah dapat laporan, kita juga buat siasatan dalaman, keputusan akan dibuat akhirnya oleh Kabinet dalam masa terdekat.
"Minggu depan atau sebelum akhir tahun ini tentang keputusan akhir helikopter yang telah ditempah enam buah itu tidak dapat sampai hari ni," katanya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa belum menerima enam helikopter bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.
Sepatutnya, helikopter pertama diterima pada Nov 2017, namun sehingga kini masih belum diperoleh sedangkan pembayaran sudah dibuat sebanyak RM112 juta
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan belum memuktamadkan sebarang pembelian pesawat pejuang dari mana-mana negara kerana dalam proses penilaian membabitkan pakar.
Beliau berkata, cadangan supaya sistem barter membabitkan pertukaran dengan minyak sawit digunakan dalam rundingan pembeliannya tidak mudah dilaksanakan, kerana memerlukan komitmen banyak kementerian.
“Ada kata kita mahu beli dengan Russia, ada kata dengan Pakistan, ada kata Korea Selatan. Semua itu masih di peringkat spekulasi.
"Perundingan masih berjalan. Kita cari yang terbaik dan paling sesuai,” katanya.