Penganjur kejohanan taekwondo berkata bintang lima bucu pada logonya bukanlah Jalur Gemilang.
Penjelasan itu selepas bekas perdana menteri Najib Razak membangkitkan kehadiran sejumlah menteri Pakatan Harapan (PH) dan bekas menteri BN di acara anjuran CK Classic International.
Hantaran itu menghangatkan lagi isu kesilapan Jalur Gemilang yang muncul baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, pengerusi penganjur CK Classic International CK Karan berkata bintang lima bucu yang digunakan mereka sebahagian daripada logo rasmi yang telah lama digunakan, dan bukan satu kesilapan.
"Apa yang dipaparkan bukan bendera dan pastinya bukan bendera Malaysia.
"Ia hanyalah logo yang dicipta sebagai simbol mewakili Malaysia dan Selangor yang menjadi tuan rumah untuk kejohanan tersebut.
"Ia bukanlah kesilapan...Kami telah menggunakan logo ini sudah sekian lama dan pertandingan ini akan masuk edisi ke-14 pada 2020," katanya.
Bendera Selangor mengandungi bulan sabit dan bintang lima bucu.
Bagaimanapun ekoran kontroversi yang tercetus, beliau berkata CK Classic International akan mengubah logonya bagi melambangkan Jalur Gemilang untuk acara akan datang.
"Susulan kontroversi ini, kami akan mengubah bintang (pada logo) untuk memuaskan hati orang ramai. Pada akhirnya kami ialah anak Malaysia dan ingin kekal bersatu dengan negara tercinta dalam melakukan perkara yang betul," katanya lagi.
Terdahulu, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) terpalit dengan kontroversi selepas bendera yang mengandungi sebelas jalur dan bintang lima bucu disiarkan ketika nyanyian lagu Negaraku dalam satu perlawanannya.
Semalam MABA membuat permohonan maaf dan menamatkan khidmat kontraktor yang mengendalikan siaran perlawanan, yang membuat kesilapan itu.
Persatuan tersebut pada semalam bagaimanapun membuat permohonan maaf dan menamatkan perkhidmatan kontraktor siaran langsung yang melakukan kesilapan itu.
MABA kemudian disiasat polis dan diberi amaran tegas oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, timbalannya Steven Sim, Menteri Luar Saifuddin Abdullah - yang juga penaung MABA - dan Presiden PKR Anwar Ibrahim
Isu itu terus mencetuskan rasa tidak puas hati selepas rakaman insiden itu disebarkan di media sosial.
MABA kini terpalit dengan satu lagi kesilapan, kali ini melibatkan bendera Perak.
Seorang pemain bola keranjang negeri itu dilihat memakai jersi yang memaparkan bendera Perak terbalik, didakwa dalam pertandingan sama ketika insiden Jalur Gemilang - Kejohanan Piala Lum Mun Chak anjurannya.
Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata Persatuan Bola Keranjang Perak menjelaskan ia disebabkan kesilapan pembekal.
"Saya telah bercakap dengan persatuan dan mereka telah meminta maaf. Mereka juga komited untuk memastikan insiden itu tidak berulang," katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menggesa persatuan mengambil tindakan terhadap pembekal dan melaksanakan pemeriksaan untuk memastikan hanya lambang dan bendera yang betul digunakan pada masa depan.