Program pengasingan sisa pepejal di peringkat punca yang mula dilaksanakan tiga tahun lepas kurang mendapat sambutan memberangsangkan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Mohd Zahir Shari berkata setakat ini hanya 28 peratus penduduk Kuala Lumpur melaksanakannya.
Beliau berkata, masalah utama adalah sikap rakyat sendiri yang masih membuang sampah tanpa melihat komposisi sama ada ianya sisa makanan atau kaca.
Walaupun tindakan denda dikenakan ke atas pihak yang melanggar Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, kata Mohd Zahir, ianya masih tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.
Bagi penghuni rumah di Kuala Lumpur dan Putrajaya yang gagal buat kali pertama mengasingkan sisa pepejal di punca dikenakan kompaun RM50, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang dikuatkuasakan 1 Jun 2016 - meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah - mewajibkan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis komposisi , seperti kertas, plastik, sisa kebun, sisa pukal dan lain lain bahan yang boleh dikitar semula.
Mohd Zahir berkata dengan pengasingan sisa pepejal, jumlah sampah yang dibuang dapat dikurangkan dan secara tidak langsung ia mengurangkan keperluan jumlah tapak pelupusan sampah.
Untuk itu, program pendedahan dan kesedaran untuk rakyat Malaysia mengasingkan sisa pejal amat diperlukan, katanya.
Menurut laman web SwCorp, tahun ini sahaja, jumlah sampah yang dijana di seluruh negara mencecah 38,000 tan sehari berbanding 14,200 tan pada 2005.
Sementara itu, seorang warga Kuala Lumpur, Nia Hania Rafei, 23, berkata tindakan masyarakat yang tidak serius mengasingkan sampah sisa pepejal adalah kerana ada yang menganggap ianya tidak penting atau kerana mereka tidak mempunyai masa.
“Saya melakukan kitar semula surat khabar pada setiap hujung minggu dan hasil pengasingan itu, saya berjaya mendapat pulangan berbentuk wang ringgit,” katanya.
Sementara itu, Siti Norhawa Mohsin, 39, pula mencadangkan lebih banyak tong kitar semula disediakan, terutama di kawasan pusat membeli belah bagi memudahkan masyarakat menghantar sampah yang boleh dikitar semula.
Juruteknik penyelenggaraan, Che Ghani Berahim, 50, pula berpendapat kempen kesedaran perlu diperbanyakkan dan tindakan undang-undang perlu diperketatkan.
- Bernama