Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia bersedia untuk belajar dan bekerjasama dengan mana-mana negara yang boleh memberi manfaat kepada negara, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Korea Selatan di Busan, hari ini, beliau berkata tidak timbul isu sama ada Malaysia mengetepikan negara-negara tertentu.

"Kita boleh banyak belajar dari Jepun, China juga. Kita akan bekerjasama dengan semua orang. Kita boleh pilih yang mana terbaik untuk kita,” kata Dr Mahathir.

Dalam hal Korea Selatan, katanya, negara itu bersedia untuk menolong dan sangat berminat untuk bekerjasama dengan Asean.

"Mereka memiliki Dasar Pandang Ke Selatan, sama seperti Dasar Pandang Ke Timur kita. Tetapi mereka membantu negara-negara Asean berkembang. Mereka sangat positif, Mereka memiliki teknologi hebat. Hari ini saya melihat teknologi kereta api, termasuk kereta api maglev," katanya.

Dr Mahathir berkata pemikiran orang Korea juga berbeza kerana mereka menggunakan teknologi untuk menumpu meningkatkan kehidupan dan bukan sebagai senjata.

Perdana menteri menyifatkan mesyuarat dan kerjasama dengan Korea Selatan sebagai berguna kepada Malaysia.

Sebagai contoh dalam pertanian, katanya, negara itu mempunyai teknologi untuk menanam buah strawberi dalam bangunan menggunakan cahaya matahari tiruan.

“Rasanya sangat manis yang mana kita perlu menghantar orang kita untuk belajar mengenainya,” katanya.

Teknologi Korea Selatan sangat maju, katanya, sambil menambah syarikat mereka bersedia untuk memindahkan teknologi tersebut.

"Mereka membina kereta api bagi Malaysia. Kita telahpun menempahnya. Lapan unit pertama mereka bina di sini, manakala yang selebihnya di Malaysia. Mereka bersedia untuk memindahkan semua teknologi.

"Mereka juga berminat membantu syarikat kecil. Itu adalah permintaan kita, tetapi apa yang paling utama adalah mendapatkan teknologi,” katanya.

Mengenai perjanjian perdagangan, Dr Mahathir berkata Malaysia akan meneliti butiran terperinci dan menimbangkan semua kesan daripadanya.

“Melainkan kedudukan tertentu dikenakan, kita perlu berhati-hati dari segi perdagangan bebas. Perdagangan bebas adalah baik tetapi kita perlu melindungi sedikit industri kecil kita,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS