Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu abu Chin Peng: Tiada masalah selagi tak langgar undang-undang - Annuar

Tiada masalah abu mendiang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia selagi tidak melanggar undang-undang, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

"Pertama sekali, sebahagian besar tugas ni kita jaga orang hidup dan bukan orang mati. Tapi kalau ambil dari sudut agama, Rasulullah kalau dia berdepan dengan jenazah bukan Islam, dia menghormati.

"Ertinya Nabi Muhammad SAW menghormati si mati tanpa mengira agama selagi tak melanggar dengan perkara yang berkaitan kita punya agama.

"Saya fikir kita bukan parti kerajaan. Jadi kita boleh bercakap sebagai satu parti politik atau individu, saya rasa kita harus menghormati apa-apa yang ingin dilakukan oleh keluarga asalkan tidak melanggari undang-undang," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada 2013 akhirnya dapat "kembali ke rumah" pada 16 September tahun ini selepas enam tahun kematiannya.

Menurut kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Separuh daripada abunya ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak iaitu di negeri kelahirannya dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu mengenang tapak-tapak ini.

Annuar ketika diminta mengulas lanjut berkata apabila seseorang itu sudah meninggal dunia tidak ada bezanya sama ada dia adalah Chin Peng atau orang lain.

"Chin Peng atau sebagainya serupa saja. Bila dah mati sama saja. Yang kita susah dengan orang hidup.

"Jadi kita tak ada masalah sebab kita tak ada kuasa (authority)," katanya.

Bekas perdana menteri Najib Razak dalam hantaran di Facebook hari ini pula mempertikaikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah-langkah kontroversi di tengah-tengah sentimen perkauman pasca PRU14 telah meningkat.

"Kenapa kerajaan PH terdesak sangat untuk abu Chin Peng dibenarkan untuk dipulangkan pada masa ini secara senyap-senyap?

"Adakah langkah ini boleh memulihkan ekonomi negara yang semakin merosot Siapakah dalam kerajaan PH yang meluluskan?

"Kerajaan PH buat tugu wira askar Jepun tahun lalu, ramai dah marah. Tahun ini, korang sengaja buat lagi? Untuk apa?" soalnya.

Bagaimanapun, penyelaras kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng, Chai Kan Fook berkata majlis upacara peringatan itu tidak didedahkan kepada orang ramai untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Chai dan kawan-kawannya juga tidak menyebut bahawa tindakan tersebut mendapat restu daripada PH, sebaliknya berkata bahawa mereka optimis kerajaan PH akan mempunyai sikap berbeza berbanding dengan kerajaan BN sebelum ini.

Untuk rekod, kerajaan BN sebelum ini tidak membenarkan mayat Chin Peng ke negara ini selepas kematiannya pada 2013.

Pada 16 September 2013, Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu berkata golongan veteran polis dan tentera masih berasa benci pada Chin Peng.

Katanya, golongan tersebut pastinya tidak akan dapat menerima sekiranya terdapat sebarang usaha untuk membawa pulang mayat atau abu mayat Chin Peng ke negara ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman dilaporkan Harian Metro mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini.

Beliau dipetik berkata KDN bertegas dengan larangan kerajaan sebelum ini untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Jelasnya, kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk sebagaimana diputuskan sebelum ini dan akan menyiasat kesahihannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS