Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kada cadang guna teknologi Korea Selatan tanam kopi luwak

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berhasrat menggunakan teknologi Korea Selatan untuk mengkomersialkan tanaman kopi Arabika bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di negeri ini.

Pengerusinya Senator Husam Musa berkata langkah itu akan menggalakkan petani di Kelantan untuk menanam kopi dalam usaha membangunkan industri ini berikutan peningkatan permintaan di seluruh dunia.

"Kita sedang berbincang dengan pihak Korea Selatan dan mereka bersetuju mengkaji bentuk teknologi yang paling sesuai untuk kegunaan pertanian khususnya di Kelantan.

“Secara spesifik, kita mahu mengeluarkan kopi ‘luwak’ (dihasilkan melalui najis musang pulut yang memakan biji kopi matang),” katanya selepas menerima kunjungan 12 wakil produk Halal Korea Selatan ke Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata KADA sudah mengenal pasti kawasan tanah tinggi Loging yang pernah dijadikan kawasan Ladang Rakyat sebagai lokasi sesuai untuk mengkomersialkan tanaman kopi Arabika yang boleh menghasilkan kopi luwak.

Husam berkata pihaknya juga sedang mengkaji kemungkinan membawa pengusaha tanaman kopi di Indonesia ke negara ini bagi membantu meningkatkan industri penanaman kopi.

Kada akan mencadangkan penggunaan musang pulut untuk industri kopi di Malaysia, katanya, memandangkan haiwan berkenaan sangat jinak dan mudah dilatih selain boleh dijadikan binatang kesayangan seperti kucing dan seterusnya menjadi satu lagi bidang penternakan.

"Di Indonesia, ada penternak khusus bagi musang pulut dan dan binatang ini akan dilepaskan ke dalam ladang kopi untuk makan biji-biji kopi yang sudah matang.

"Lebih menarik, musang ini akan berada di kandang pada waktu siang dan ini boleh dijadikan tarikan kepada pelancong," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Halal Korea, Mustafa Jaenam Jin berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysia khususnya Kelantan dalam menghasilkan lebih banyak produk halal untuk kegunaan pasaran Korea Selatan.

Terdapat kira-kira 300,000 orang Islam di Korea yang kebanyakannya dari Asia terutama Indonesia dan Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS