Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata tindakan dua Adun parti itu sehingga menyaksikan usul yang dibawa oleh kerajaan negeri Melaka tewas di dewan undangan negeri, semalam, tidak dapat diterima.
"Saya sedang berhubungan dengan mereka, saya sepatutnya berjumpa mereka hari ini ataupun berkomunikasi dengan mereka.
"Ini tentunya tidak dapat diterima kerana mereka harus menghormati keputusan negeri dan kedudukan kami adalah mereka mesti menyokong keputusan ketua menteri," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, usul Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli dewan negara ditolak apabila ia hanya mendapat 12 undi berbanding 13 yang menolaknya, manakala tiga lagi tidak hadir.
Dua wakil PKR iaitu Adun Machap Jaya Ginie Lim dan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis, yang dikatakan penyokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, bertindak meninggalkan sidang sebelum undian bermula.
Halim Bachik pula dikatakan menyokong Anwar.
Ditanya apakah kekalahan usul ada dikaitkan dengan perbalahan dalaman PKR yang sedang berterusan, Anwar berkata, penyokong PKR negeri itu harus menyokong kerajaan negeri tanpa mengira kecenderungan mereka.
"Perbalahan dalaman atau tidak, keputusan negeri dan parti mesti dihormati," katanya.
Ditanya sama ada tindakan dua Adun itu ada kaitan dengan spekulasi bahawa ada usaha untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Melaka yang dipimpin oleh Adly Zahari dari Amanah, Anwar menegaskan PKR berdiri teguh bersama ketua menteri itu.
"Saya tidak fikir demikian tetapi dari segi parti kita, kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan termasuk ketua menteri Melaka," katanya.