Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dokumen rahsia kem tahanan di Xinjiang, China bocor

GLOBAL | Dokumen sulit kerajaan China yang didedahkan untuk tatapan umum oleh kumpulan wartawan antarabangsa menerangkan gerak kerja dalaman yang menindas dalam kem tahanan di Xinjiang.

Ia merupakan kebocoran kedua fail rahsia yang jarang-jarang berlaku mengenai rantau barat China itu.

Penerbitan dokumen pada Ahad oleh Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) menyusuli laporan New York Times pada 16 Nov lalu berdasarkan kertas rahsia yang disembunyikan, mendedahkan butiran mengenai kawalan ketat China terhadap etnik Uighur dan warga Islam lain di rantau itu.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis mengatakan sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dan warga minoriti Muslim lainnya telah ditahan di kem di Xinjiang.

ICIJ berkata memperoleh senarai garis panduan 2017 "yang berfungsi sebagai manual untuk mengendalikan kem-kem itu," dengan arahan mengenai bagaimana untuk mencegah tahanan melarikan diri, mengekalkan kerahsiaan kewujudan kem, indoktrinasi dan "waktu bila dibenarkan perjumpaan tahanan dengan saudara-mara atau bahkan masa untuk menggunakan tandas. "

Dokumen lain yang diperoleh termasuk "taklimat perisikan" menunjukkan bagaimana polis "dipandu oleh sistem pungutan dan analisa data yang besar yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memilih seluruh kategori penduduk Xinjiang untuk ditahan."

Bagaimanapun, akhbar The Guardian, seorang salah satu sekutu ICIJ, melaporkan kedutaan China di London sebagai berkata "dokumen yang dipanggil bocor itu adalah rekaan semata-mata dan berita palsu."

Kementerian Luar China tidak segera menjawab soalan faks mengenai laporan ICIJ itu. Reuters tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan secara bebas.

Kebocoran dokumen itu berlaku pada saat bantahan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rekod hak asasi manusia yang lebih luas di Xinjiang. Amerika Syarikat telah mengetuai lebih 30 negara dalam mengutuk apa yang disebut sebagai "kempen penindasan yang dahsyat."

Beijing menafikan sebarang layanan buruk terhadap etnik Uighur atau warga lain di Xinjiang, mengatakan ia menyediakan latihan vokasional untuk membantu menghilangkan ekstremisme dan fahaman pemisah Islam serta mengajar kemahiran baru.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS