Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam siasat aduan polis takut-takutkan keluarga suspek LTTE

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa pegawai polis Cawangan Khas (SB) didakwa mengugut dan menakut-nakutkan keluarga tiga suspek yang dikaitkan dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ini selepas NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini menghantar memorandum kepada Suhakam bagi mengetengahkan isu berkenaan serta menggesa suruhanjaya itu menasihati kerajaan agar memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau singkatannya Sosma.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, dalam memorandum itu menyenaraikan beberapa insiden ugutan dan tekanan yang dihadapi keluarga dan rakan-rakan Adun Gadek, G Saminathan, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Green Technology Incorporated S Chandru dan ahli DAP, V Sureshkumar.

Ini termasuk cubaan polis yang dikatakan menghalang himpunan nyalaan lilin dengan mengancam untuk menahan ahli keluarga jika ia diteruskan dan mengugut pembantu Saminathan yang dikenali sebagai Jaya agar menarik balik hantaran di Facebook mengenai aktiviti solidariti terhadap tahanan berkenaan.

Selain itu polis juga didakwa memberi amaran kepada Jaya agar tidak menularkan sebarang artikel atau maklumat mengenai 12 suspek berkenaan dan dakwaan bahawa polis telah menghubungi isteri Saminathan serta cuba meminta rasuah sebagai pertukaran untuk melepaskan suaminya.

"Sejak penahanan Saminathan, Chandru dan Suresh Kumar, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka sering diganggu dan diugut oleh polis terutamanya dari Cawangan Khas.

"Ini menyebabkan kebimbangan dan rasa tiada tenang bagi ahli keluarga. Kami mahu Suhakam cepat menyiasat perkara ini dan menggesa kerajaan menghentikan ugutan dan ancaman yang melanggar hak asasi manusia, "jelas memorandum itu.

Ditanya mengenai langkah seterusnya yang akan diambil oleh Suhakam, Pesuruhjayanya Jerald Joseph memberitahu Malaysiakini bahawa mereka akan mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa.

"Saya menerima memorandum hari ini. Oleh itu, kita akan menyiasat (tuduhan). Kami akan menemu bual ahli keluarga dalam beberapa hari akan datang kerana itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kerja polis ialah untuk menyiasat. Jika mereka perlukan sebarang maklumat mereka boleh bertanya secara terus. Jika tidak, tiada sebab untuk menjejaki mereka di mana-mana mereka pergi kerana ini menjadikan mereka tidak selesa. Ia tidak perlu, "kata Jerald.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Selain ketiga-tiga mereka, sembilan lagi suspek turut ditahan di bawah Sosma termasuk seorang lagi Adun DAP kerana didakwa terbabit dengan LTTE.

Kesemua 12 tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

 

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS