Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Sabah rampas lima bakakuk, tahan lima petani

Polis merampas lima senjata api buatan sendiri atau bakakuk dan menahan lima petani termasuk seorang pembuat senjata api itu di daerah Kota Marudu pada Khamis lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata tangkapan dan rampasan dilakukan selepas polis membuat serbuan di tiga rumah berasingan di Kampung Petani Baru, Pitas dan Kota Marudu.

Lima lelaki yang ditahan dalam serbuan tersebut berusia antara 25 hingga 45 tahun, katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan membabitkan rampasan tiga laras bakakuk, selaras senapang guli dan 50 butir peluru.

Katanya serbuan kedua berjaya menangkap seorang lelaki dengan rampasan selaras bakakuk dan empat butir peluru, manakala serbuan ketiga pula berjaya menangkap seorang lelaki dengan rampasan selaras bakakuk dan enam butir peluru.

Semua rampasan termasuk alat membuat bakakuk turut dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan yang merupakan pembuat senjata api buatan sendiri itu, katanya.

Zaini berkata siasatan awal mendapati tujuan kesemua mereka menyimpan bakakuk adalah untuk memburu dan mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS