Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil tidak perlu menegakkan benang yang basah dalam isu pemecatan bekas setiausaha politik Baru Bian, Zakaria Abd Hamid daripada parti itu, kata Zuraida Kamaruddin.
Zuraida yang merupakan naib presiden PKR menyifatkan penjelasan Fahmi sebagai "terlalu mentah" dan tidak memahami kritikan yang disuarakannya dalam isu itu.
Ia susulan kenyataan Fahmi yang juga anggota parlimen Lembah Pantai hari ini bahawa Zuraida akan mendapat maklumat penuh berkenaan pemecatan Zakaria jika hadir ke mesyuarat biro politik mingguan dan mesyuarat majlis pimpinan pusat semalam.
Dalam kenyataan balasnya terhadap Fahmi, Zuraida berkata soal yang timbul di sebalik pemecatan Zakaria ialah ia tidak mengikut proses wajar dan ketidakhadirannya dalam mesyuarat tiada kaitan.
"Penjelasan yang diberikan pegawai lantikan ini (Fahmi) adalah terlalu mentah dalam mengulas isu politik dan berdasarkan kenyataannya, jelas beliau tidak memahami isu yang saya utarakan.
"Ia amat jelas dan mudah, pemecatan ini tidak mengikut proses wajar. Soal saya hadir atau tidak ke mesyuarat parti tidak relevan untuk dibincangkan atas isu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, status kehadirannya tidak sepatutnya menjejaskan prinsip keadilan yang perlu dilaksanakan ke atas semua anggota PKR.
"Saya naib presiden parti, bukan hakim agung parti," katanya lagi.
Pagi tadi Zuraida menyifatkan pemecatan itu sebagai 'reformasi membawa rebah' dan mempersoalkan tiada tindakan sama terhadap anggota yang menurutnya turut berdepan isu undang-undang.
"Jika benar ada saranan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk parti politik mengambil tindakan terhadap anggota yang masih tak dibuktikan bersalah di mahkamah, maka parti wajib juga mengambil tindakan terhadap anggota yang jelas melanggar undang-undang negara.
"Ia seperti kes pukul, samseng, meminta rasuah semasa pemilihan parti dan beberapa kes lagi yang sememangnya diketahui umum," katanya pagi tadi.
Pada 10 September lalu, pengerusi PKR Perak dan juga setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan polis untuk membantu siasatan kes serangan di Ampang.
Pemecatan Zakaria dan seorang anggota PKR Pahang, Ismail Dulhadi, diumumkan pengerusi lembaga disiplin parti Ahmad Kassim semalam.
Semalam Fahmi berkata PKR menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Oktober 2019 yang menasihati untuk meneliti dakwaan terhadap dua ahli mereka yang membawa cadangan oleh lembaga disiplin agar kedua-duanya dipecat serta-merta.
"Majlis Pimpinan Pusat (MPP) setuju dengan cadangan dari lembaga disiplin tersebut," katanya.