Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menolak usul Ketua Menteri, Adly Zahari yang mencadangkan Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik dilantik sebagai ahli dewan negara.
Usul itu hanya mendapat 12 undi berbanding 13 undi yang menolak, manakala tiga lagi tidak hadir.
Susulan itu, Ketua Pembangkang, Idris Haron mengambil peluang untuk mengemukakan usul calon baru iaitu Pengerusi Umno Melaka, Abdul Rauf Yusoh.
Ini katanya, berdasarkan kepada Peraturan 18.1 Dewan Undangan Negeri yang membolehkan pindaan usul dibuat sebelum speaker bertindak menangguhkan dewan.
Namun ini menimbulkan kekecohan di antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Speaker Omar Jaafar kemudian bertindak menangguhkan sidang itu.
Sebagai rekod, seramai tiga Adun Pakatan Harapan yang tidak hadir hari ini, dua daripada mereka adalah dari PKR. Mereka adalah Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis dan Adun Machap Jaya, Ginnie Lim Siew Lin. Kedua-dua mereka juga adalah anggota exco kerajaan Melaka.
G Saminathan (DAP - Gadek) - pula tidak hadir - kerana masih ditahan di bawah SOSMA.
Sementara itu, Lim ketika disoal sama ada beliau menolak cadangan Abdul Halim dilantik menjadi senator, berkata terpulang kepada DUN Melaka mengundi dan menentukan perkara berkenaan.
"Saya telah melahirkan kebimbangan saya sebelum usul itu dibentangkan.
"Jadi, dewan perlu membahaskan dan mengundi selepas usul dibentangkan," katanya kepada Malaysiakini tanpa mahu mengulas lanjut.
Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik Adly pada sidang medianya, sebagai berkata kerajaan negeri akan melakukan ‘bedah siasat’ mengenai keputusan undian, termasuk ‘kehilangan’ Adun PKR pada sesi pengundian berkenaan.
“Saya tidak menjangkakan keputusan ini, namun saya tidak nampak ada unsur-unsur sabotaj. Saya akan mendapatkan pandangan daripada mereka (Adun PKR),” katanya.
Idris pula ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu bahawa keputusan pembangkang menolak usul berkenaan bukan disebabkan ketiadaan dua Adun PKR itu, sebaliknya berpunca daripada sindiran Adun Klebang, Gue Teck terhadap ahli pembangkang yang mengguris hati.
“Kita tolak ada yang mengatakan ahli PKR meninggalkan dewan. Tapi saya nak bagi tahu, bukan pasal dua Adun tinggalkan dewan. Dua Adun itu pun tak berkomunikasi dengan saya pun.
“Kita (pembangkang) tolak pasal ucapan Adun Klebang. Pada kita macam ucapan tak bijak. Apalah dalam dewan berucap menyalahkan kerajaan lama.
“Dia kutuk-kutuk saya, dia kutuk-kutuk kerajaan lama. Ambil kau,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat unsur sabotaj, bekas ketua menteri Melaka itu menafikannya.
“Tak ada, tak ada. Kita boleh sokong, KM (Adly) punya ucapan bagus. Kita hampir nak sokong sebab KM punya ucapan kata ini adalah untuk kebaikan Melaka.
“Tapi Adun Klebang begitu bodoh, apabila kamu mengharapkan sokongan kita tapi kamu kata kita orang jahat, apa punya YB macam itu,” katanya.
Sehubungan itu, Idris berkata, pembangkang menolak usul itu dan membuat cadangan baru mengikul peraturan 18(1) Pindaan Usul-usul.
“Kita menolak bukan kerana dua Adun PKR itu meninggalkan dewan. Bukan kerana itu, saya pun tak suka dengan dua Adun PKR itu saya kira yang lebih menyebabkan kita menolak calon itu adalah ucapan Adun Klebang yang berbaur sindiran - macam bongkak,” katanya.