Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco: Johor belum putuskan pinda enakmen had umur minimum kahwin

Kerajaan Negeri Johor belum membuat sebarang ketetapan bagi meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Tosrin Jarvanthi berkata perbincangan mengenainya akan dilakukan di peringkat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebelum hasil mesyuarat terbabit akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan pandangan serta nasihat.

“Saya hendak tegaskan Johor belum lagi mengambil sebarang keputusan (mengenai pindaan had umur perkahwinan) dan saya akan bawa ke Majlis Agama Islam Johor dan kita persembahkan dahulu kepada tuanku untuk mendapatkan nasihat,” katanya yang ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu modul yang menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Mujahid berkata modul itu yang sedang disiapkan merupakan garis panduan untuk dipatuhi oleh semua negeri mengenai perkahwinan dan adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang jika SOP itu tidak diikuti.

Menurut Tosrin, penerimaan atau pelaksanaan sebarang modul baru diperkenalkan kerajaan persekutuan itu akan diputuskan selepas ketetapan dibuat di peringkat kerajaan negeri.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail, memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS