Seramai 41,000 siswazah mendapat tempat dalam pelbagai sektor pekerjaan sehingga Oktober tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata penempatan ini berjaya dilakukan hasil kerjasama kementerian dengan pelbagai agensi pekerjaan seperti Jobs Malaysia yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penuntut lepasan universiti.
“Kebanyakan siswazah mendaftar mencari kerja dengan Jobs Malaysia. Malah sehingga Oktober lepas, terdapat seramai 290,898 orang pendaftar aktif yang terdiri daripada 210,868 orang siswazah.
“Bagaimanapun mereka ini bukan siswazah yang menganggur, tetapi siswazah yang pertama kali mendaftar untuk mencari kerja, serta mereka yang ingin beralih pekerjaan bagi peningkatan kerjaya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan kmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) yang ingin tahu jumlah siswazah yang masih mengganggur sejak dua tahun lalu dan apakah puncanya.
-Bernama