Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues kematian pelajar Nigeria ditetapkan Jan tahun depan

Mahkamah koroner Kuala Lumpur akan mengadakan inkues pada Januari tahun depan bagi menentukan punca kematian seorang pelajar doktor falsafah (PhD) dari Nigeria ketika dalam tahanan Jabatan Imigresen beberapa bulan lalu.

Tarikh bagi prosiding inkues kematian Thomas Orhions Ewansiha ditetapkan pada 2, 3, 7, 8 dan 9 Januari tahun depan, kata peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili isteri si mati, Uhunoma Eriamiator.

"Satu perbicaraan inkues telah didaftarkan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur. Hari ini, pengurusan kes yang pertama telah diadakan dan mahkamah telah mengarahkan pendengaran lain pada 20 Dis.

"Prosiding inkues akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mahyon Talib," katanya.

Mengenai jumlah saksi, Rajesh berkata ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Saksi-saksi bergantung kepada DPP. Senarai ini belum muktamad lagi. Kita akan tahu dengan pasti pada 20 Dis semasa pengurusan kes itu," katanya.

Ewansiha, 34, meninggal dunia ketika dalam depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil pada 9 Julai lalu.

Sebelum itu, dia ditahan pada 4 Julai dalam satu operasi imigresen di Pangsapuri Desa Aman Puri.

Operasi itu dilancarkan berikutan aduan "salah laku" warga asing di kawasan itu.

Pelajar Dari Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing itu ditahan reman selama 14 hari bagi mengesahkan dokumen dan mendapatkan pengesahan dari universiti berkenaan mengenai rekod kehadiran dan butiran kursus yang diambilnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Khairul berkata tidak ada pelanggaran prosedur operasi standard dalam kes berkenaan.

Beliau berkata, pada kira-kira jam 12.05 malam pada 9 Julai, pegawai depot tahanan imigresen dimaklumkan oleh penghuni lain bahawa pelajar berkenaan mengalami sawan semasa tidur.

Pegawai-pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kemudian mengesahkan kematian Ewansiha.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS