Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shaq Koyok: Tiada khayalan, hanya Orang Asli dan cerita sebenar

MALAYSIANSKINI | Akma Mamin, 11, gembira apabila mendapat tahu potretnya akan terpampang menghiasi dinding luar bilik darjahnya.

Begitu juga dengan Hariziman Herman, yang baru tamat UPSR. Dia teruja apabila mengetahui wajahnya akan terus kekal di sekolah itu, biarpun setelah dia tamat bersekolah rendah di situ.

Kedua-dua kanak-kanak Temuan-Semai itu dipilih menjadi subjek lukisan mural oleh Shahar “Shaq” Koyok di sekolah Orang Asli Sekolah Kebangsaan Bukit Lanjan.

Shaq, pelukis berusia 34 tahun yang berasal dari suku Temuan, mempunyai misi untuk mengetengahkan subjek Orang Asli kepada umum melalui karyanya.

Shaq dikenali ramai menerusi potret-potretnya yang menangkap perhatian, contohnya karya “Age of Tomorrow” yang kini dipamerkan di Galeri Petronas.

Ia menggambarkan seorang wanita Orang Asli di tengah-tengah dua imej kontras di belakangnya - hutan yang hijau dan subur, dan tanah kelabu yang dipenuhi dengan serpihan balak.

Dalam karya “Witnesses” yang merupakan potret hitam dan putih, dia melukis enam individu Orang Asli di atas enam tikar mengkuang yang dianyam oleh ibunya.

Tikar-tikar itu digantung mengelilingi satu tunggul pokok. Di atas tunggul itu diletakkan satu gergaji rantai (chainsaw). Karya ini juga turut dipamerkan dalam pameran Redtape di Galeri Petronas, KLCC (hingga 29 Disember).

Dalam temu bualnya dengan Malaysiakini, Shaq mengakui, dia hanya akan melukis subjek Orang Asli dalam karyanya.

“Ada orang minta saya lukis benda lain, tapi saya tolak.

“Banyak isu yang dihadapi oleh Orang Asli - pembalakan, rampasan tanah, pembinaan lebuh raya, pembangunan yang melampau di tanah adat, dan ladang kelapa sawit.

“Ini yang akan saya lukis. Saya mahu orang tahu, Orang Asli tak okey dengan benda-benda ini [...].

“Tak ada gambar (menunjukkan) khayalan. Saya mahu orang ramai sedar dan saya mahu tunjuk kepada mereka cerita sebenar,” jelasnya. 

Dalam nada yang bersunguh-sungguh, Shaq berkongsi kisah kanak-kanaknya, bagaimana dia membesar dalam rumah kayu satu bilik tanpa bekalan tenaga elektrik mahupun bekalan air. Miskin, tetapi cukup bahagia.

Kebanyakan usia kanak-kanaknya dihabiskan di Kampung Pulau Kempas, satu kampung Temuan di Banting, Selangor. Katanya, masih segar di ingatannya kenangan menangkap ikan di paya, dan memburu binatang kecil di dalam hutan.

Di sekolah rendah, dia didedahkan dengan seni lukisan, yang akhirnya menjadi minat mendalam yang membentuk perjalanan kehidupannya selepas itu.

Langkah awal

Shaq mula melukis potret ketika di sekolah menengah, apabila dia mendapat galakan daripada guru-guru yang memperakui bakatnya dan mengupahnya melukis potret peribadi masing-masing.

Kata Shaq, dia dibayar RM200 untuk satu potret yang dihasilkan, digunakan untuk menambah duit sakunya ketika itu.

Dengan melukis potret jugalah dia dapat menyara hidup ketika bergelar pelajar jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Shaq merupakan Orang Asli pertama dari semenanjung mengambil jurusan itu.

Semasa menyambung diploma di kampus UiTM Melaka, Shaq akan meletakkan toopang lukisan (easel) di sudut-sudut jalan pada hujung minggu, dan melukis potret pelancong dan pengunjung yang lalu-lalang di situ.

Duit lebih yang diperolehinya, dapatlah dia gunakan untuk mengembangkan lagi cabang kreativitinya ke bidang muzik dan meluncur papan, yang kemudiannya menjadi hobi sehingga kini.

Di universiti jugalah, katanya, dia belajar untuk menerima identiti dirinya sebagai pelukis Orang Asli.

“Saya sedar betapa kurangnya representasi Orang Asli di ruang awam. Kurang diwakili, dan (ada) salah tanggapan. Banyak stereotaip (terhadap Orang Asli) di luar sana [...]

“Saya mahu mewakili Orang Asli dalam karya saya agar orang dapat melihat kami, dan melihat bahawa Orang Asli (juga) tinggal di sini. Kami juga mahu tergolong (dalam masyarakat), bukan terasing,” katanya.

Shaq berkongsi bagaimana sesetengah galeri pada mulanya teragak-agak untuk mempamer atau menjual karyanya. Ada yang menasihatkannya untuk melukis subjek yang lebih bersifat komersial.

Tetapi dia tetap dengan misinya, dan akhirnya, pada 2017, karyanya terpilih sebagai sebahagian daripada pameran berkumpulan “Manah: A Living Legacy” di Galeri Petronas.

Sejak itu, karyanya mendapat perhatian, malah turut dipamerkan dalam pameran solo di seluruh negara, juga di Melbourne, London dan Miami.

Shaq percaya, menjadi pelukis yang “mewakili diri sendiri” memberinya kebebasan untuk terus melukis topik yang menjadi pilihannya, iaitu potret Orang Asli.

“Saya cuba memberikan nyawa kepada imej individu di dalam karya saya, supaya dia takkan mati.

“Supaya imejnya pada ketika dan tempat itu (wajahnya dipotretkan), akan hidup selama-lamanya dalam karya saya dan dapat terus-terusan bercerita kisah hidup mereka (melalui karya saya).

“Kalau pun dia mati, atau mendewasa, atau menjadi orang lain, ceritanya masih tetap akan sama. Ini penting untuk Orang Asli,” jelasnya.

Perjuangan hak Orang Asli

Di samping kerjaya lukisannya, Shaq turut menjadi sangat dekat dengan orang-orang serta isu yang menjadi subjek lukisannya.

Kerap muncul di acara-acara alam semulajadi, dia sering berucap di forum bagi membangkitkan pengalaman Orang Asli berdepan kemusnahan iklim. Pada September, dia merupakan salah seorang daripada ratusan peserta Mogok Iklim di Kuala Lumpur.

Dia juga merupakan Orang Asli pertama yang menerima Anugerah Merdeka atas kerja-kerja komunitinya.

Anugerah itu memberinya peluang untuk mengembara ke lura negara bagi mempelajari bagaimana kaum orang asal di Australia dan Maori di New Zealand menggunakan seni untuk memacu kesedaran awam tentang budaya dan hak Orang Asli.

Shaq percaya, aktivisme dan seninya tidak akan dapat dipisahkan, memandangkan kedua-duanya bercambah daripada perjuangannya terhadap hak Orang Asli. 

Katanya, kepercayaan itulah yang mendorongnya melakukan kerja-kerja melukis mural di sekolah-sekolah Orang Asli secara sukarela, seperti wajah Akma dan Heriziman yang diabadikan di dinding sekolah di SK Bukit Lanjan.

Tambahnya, dia bangga dapat membawa karya seninya “keluar dari galeri”, dan lebih penting daripada itu, dia berharap karyanya dapat memberi inspirasi buat kanak-kanak Orang Asli agar berasa bangga dengan identiti mereka.

“Saya mahu lukis imej Orang Asli di sekolah Orang Asli. Kamu tak lihat imej Orang Asli di sekolah-sekolah, kan? Tak ada.

“Saya mahu pelajar-pelajar bangga dengan diri mereka seadanya, dan saya mahu buat mereka rasa mahu pergi ke sekolah. Banyak (daripada mereka) yang rasa malu kerana diperlekahkan hanya kerana mereka “Orang Asli”.

“Saya tak mahu itu. Sebab itu saya selalu lukis Orang Asli dalam persalinan tradisi mereka dalam mural-mural saya, untuk mewakili budaya kami,” katanya.

Kadar keciciran pelajar sekolah menengah di kalangan Orang Asli berada pada kadar 51.06 peratus tahun lalu, menurut Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Pakar mendakwa perkara itu berlaku kerana beberapa faktor, antaranya buli, diskriminasi dan ketidakpercayaan terhadap sistem pendidikan kerana usaha pengislaman di sekolah.

Biarpun mengakui muralnya membantu memberikan ruang untuk Orang Asli diwakili dan menjadi ‘lebih kelihatan’, kata Shaq, itu baru setengah jalan daripada ‘misinya’.

Dia kerap menganjurkan ceramah motivasi di sekolah-sekolah yang menerima lukisan muralnya.

Katanya, melukis mural di sekolah membantunya untuk berhubung dengan pelajar-pelajar di situ, yang menurut pemerhatiannya, bersikap lebih menerima apabila wajah yang mereka kenali, meminta mereka untuk terus bersekolah.

“Saya bukan orang asing yang tiba-tiba terjun bagi ceramah motivasi kepada mereka,” katanya sambil ketawa.

Dia kini sedang membuat persiapan untuk pameran solo pertamanya di Balai Seni Negara, yang merupakan pencapaian yang diidam-idamkan dan dibanggakan oleh pelukis Malaysia.

Tarikh pamerannya dijadualkan bermula 19 Mac 2020, namun tertakluk pada perubahan.

Dalam pameran tersebut, dia bercadang mewakili kesemua 18 suku Orang Asli di semenanjung Malaysia melalui seni lukisan dan seni pemasangan.

“Ini tanggungjawab yang besar, dan tak pernah dilakukan sebelum ini. Tapi saya harap (dapat) memotret setiap orang,” tekadnya.


MALAYSIANSKINI ialah siri warga Malaysia yang patut anda kenali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS