PKR hari ini memecat dua ahlinya kerana disyaki terlibat dengan rasuah.
Dua individu itu ialah Zakaria Abd Hamid yang merupakan bekas setiausaha politik Menteri Kerja Raya Baru Bian dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi.
Pengerusi lembaga disiplin parti Ahmad Kassim berkata keputusan itu dicapai semasa mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) di Petaling Jaya hari ini.
"Sebagai sebuah parti yang konsisten terhadap salah laku rasuah, dan juga untuk memberi mesej yang jelas kepada seluruh anggota dan rakyat bahawa parti tak akan berkompromi dengan mana-mana anggota, oleh itu MPP hari ni buat keputusan untuk memecat keanggotan Zakaria dan Ismail.
"Kedua-duanya berhak untuk kemukakan rayuan," kata Ahmad pada sidang media hari ini.
Siasatan SPRM berhubung perkara itu dibuat susulan laporan yang difailkan oleh penyelaras Pemuda PKR (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razak pada September tahun lepas.
Zakaria, yang juga ketua PKR cabang Bera, dikatakan telah menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept, ketika beliau bertanding kerusi majlis kepimpinan pusat PKR.
Baru dilaporkan berkata bahawa jika tuduhan itu benar, ia perlu disiasat.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata PKR sebelum ini mendapat surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 23 Oktober 2019 yang menasihati untuk meneliti dakwaan terhadap dua ahli mereka.
"SPRM meminta kita melihat perkara ini dan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya.
"Lembaga disiplin mencadangkan keanggotaan kedua-dua anggota ini dikenakan tindakan pemecatan serta-merta, dan MPP setuju dengan cadangan dari lembaga disiplin tersebut," katanya.
Ketika ditanya sama ada SPRM dijangka mendakwa kedua-duanya dalam masa terdekat, Fahmi berkata: "Itu terpulang pada SPRM. Tapi SPRM telah menasihati (untuk mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya)".
Kata Fahmi, PKR hanya akan menghantar surat pemecatan kepada Zakaria dan Ismail selepas ini kerana keputusan itu baru dicapai.