Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Pahang lulus lebih banyak tanah projek Rumah Makmur

Kerajaan Negeri Pahang akan meluluskan lebih banyak tanah bagi tujuan Projek Rumah Makmur dalam usaha menyediakan peluang kepada rakyat berpendapatan rendah memiiki kediaman sendiri.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah itu sebahagian daripada melaksanakan tanggungjawab kerajaan menyediakan infrastruktur dan keperluan asas, termasuk rumah yang merupakan antara keperluan utama untuk rakyat.

"Projek Rumah Makmur pula memang bertujuan untuk memastikan golongan kurang berkemampuan memiliki rumah kerana harganya sangat murah iaitu RM80,000 dengan syarat pemohon masih belum mempunyai rumah.

"Kerajaan negeri sebenarnya tidak untung bahkan kehilangan hasil tanah kerana pemaju tidak perlu membayar premium tanah, namun kami berkorban untuk kesenangan rakyat," katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Rumah Makmur Kampung Tiram di Kuantan, hari ini.

Projek yang dimajukan oleh Zon Majuria Sdn Bhd di atas tanah berkeluasan 40.4 hektar itu melibatkan pembinaan 635 unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi dengan fasa pertama yang dijangka siap pada 2022 melibatkan pembinaan 100 unit rumah.

Wan Rosdy juga memaklumkan setakat ini, projek Rumah Makmur Kampung Tiram menerima 1,700 permohonan yang beliau berharap mereka yang tidak bernasib baik menunggu dengan lebih sabar untuk projek seumpamanya dalam masa terdekat.

Sebagai contoh, Wan Rosdy berkata pihaknya sedang dalam tindakan meluluskan 404 hektar tanah bagi tujuan pembinaan 10,000 rumah mampu milik di Indera Sempurna di Kuantan, yang turut melibatkan 3,000 unit Rumah Makmur.

Di Pahang, selain Rumah Makmur, kerajaan negeri juga membangunkan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Pahang melibatkan pembinaan rumah tiga bilik dengan dua bilik air yang dijual pada harga serendah RM150,000.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS