Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jika PH gagal, impian rakyat M'sia terkubur - Kit Siang
Diterbitkan:  Nov 24, 2019 2:54 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengakui PH telah membiarkan dirinya menyimpang dari garis politik sederhana dan dengan pantas kehilangan sokongan kerana hal itu.

Sekiranya PH gagal membina jambatan di kalangan masyarakat Malaysia, ini bermakna kematian terhadap impian rakyat Malaysia, katanya.

"Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kami telah menyimpang dari pusat kesederhanaan, berusaha untuk bersaing dan malahan (cuba menjadi) lebih baik lagi daripada mereka yang menggunakan kebencian dan sikap tidak bertolak ansur dalam politik kaum dan agama," katanya pada Konvensyen DAP Perak di Ipoh hari ini.

Menurut MP Iskandar Puteri, akibatnya PH kehilangan sokongan Melayu dan bukan Melayu atas alasan yang saling bercanggah dan bertentangan.

Beliau menggesa PH kembali ke garis tengah politik sederhana dan tidak bersaing dengan penyebar kebencian dan sikap tidak bertolak ansur.

Cara gerak kerja PH juga katanya perlu disemak semula.

"DAP, sebagai contoh, telah dituduh tidak bercakap bagi pihak rakyat ketika mana pada masa dahulu merupakan suara masyarakat.

"Tiada perubahan dalam komitmen DAP dan para pemimpinnya sejak 18 bulan lalu terhadap prinsip dan objektif mereka, sebagaimana 52 tahun pertama kewujudan DAP.

"Perbezaannya adalah DAP berada dalam pembangkang nasional sepanjang 52 tahun pertama itu manakala ia menjadi sebahagian daripada gabungan nasional Pakatan Harapan dalam tempoh 18 bulan yang lalu.

"Keseimbangan baru perlu diselesaikan di antara mengekalkan solidariti dan disiplin serta ikatan prinsip dan objektif oleh parti komponen masing-masing, yang belum lagi biasa untuk Pakatan Harapan," katanya.

Lim menyebut rasa tidak setujunya dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto PH bukanlah "kitab suci".

Beliau turut tidak bersetuju dengan cadangan "kereta terbang" menjadi projek kerajaan dan penahanan 12 rakyat Malaysia kerana dakwaan hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam yang tidak lagi wujud.

"Kita perlu mencari cara di mana pemimpin dan aktivis dalam parti komponen Pakatan Harapan dapat menyuarakan perbezaan pendapat mereka terhadap dasar dan langkah-langkah kerajaan sedia ada tanpa dilihat sebagai berfikiran seperti pembangkang atau didorong oleh objektif tersembunyi untuk menjatuhkan kerajaan PH.

Beliau mengisytiharkan keyakinannya bahawa DAP tidak akan menjadi MCA 2.0 dan PH tidak akan menjadi BN 2.0.

Katanya, ini kerana DAP dan PH komited untuk menetapkan semula dasar pembangunan negara bagi membina sebuah Malaysia Baru.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia bahawa minggu lalu telah memaparkan kesaksian perbicaraan yang 'mendedahkan lebih banyak tentang pendustaan dan sikap tidak bermoral sistem pemerintahan kleptokrasi sebelumnya'.

"Kami mahu Pakatan Harapan berjaya membuahkan agenda untuk Malaysia Baru dan memenuhi impian rakyat Malaysia di mana setiap warga Malaysia, tanpa mengira bangsa atau warna kulit, dapat mencari titik persamaan antara sesama warga negara Malaysia, walaupun kami mengekalkan identiti berasingan kami dalam etnik atau agama.

"Pilihan kepada gagasan ini terlalu dahsyat untuk dipertimbangkan - kerana ia akan melibatkan kematian impian Malaysia dan pengakhiran yang menyedihkan terhadap pembinaan negara bangsa Malaysia," kata pemimpin veteran itu memberikan amaranya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS