Umno bersedia menerima kembali bekas anggota yang menyesal dengan keputusan mereka meninggalkan parti itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu mendakwa ada kalangan anggota parlimen yang tidak dipedulikan oleh penduduk kawasan masing-masing setelah meninggalkan parti itu dan menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Umno-BN terbuka kalau agak-agak (mereka) menyesal berada di sana, dan tidak dipedulikan.
“Malah di kalangan mereka, apabila balik ke kawasan, hatta solat Jumaat [...], tidak ada orang mempedulikannya. Bila nak bersalam, lepas sembahyang Jumaat, saya kasihan, tidak ada orang mahu bersalam.
“Seolah-olah ada najis mughallazah, (najis) yang paling berat, paling kotor,” katanya ketika berucap dalam ceramah Mega Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam malam tadi, seperti dipetik Malaysia Gazette.
Mengambil perumpamaan perceraian dalam Islam, Zahid berkata pasangan masih boleh 'rujuk' kembali setelah jatuh talak.
“Saya tahu ada di kalangan mereka yg menyesal, Tan Sri Noh Omar tahu. Kawan-kawan kita juga berjumpa, mereka mahu masuk kembali.
“Saya kata, di dalam islam, dari segi munakahat hukum pernikahan, talak ada tiga. Talak pertama dan talak kedua boleh rujuk balik. Talak ketiga adalah tak boleh rujuk,” katanya.
Tidak kurang 17 anggota parlimen Umno keluar parti setelah kekalahan BN dalam PRU lalu. Kebanyakannya menyertai Bersatu yang diterajui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Antaranya ialah anggota parlimen Jeli Mustafa Mohamad, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Anifah Aman (Kimanis), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Rozman Isli (Labuan), Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd Rahim Bakri (Kudat), Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipatang).
Malah hal itu menyebabkan Zahid mengambil cuti seketika daripada jawatan presiden Umno dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan untuk beberapa bulan.