Pengasas Malaysiakini Steven Gan dan Premesh Chandran dijangka melepaskan separuh daripada pegangan saham mereka kepada badan amanah yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
Premesh mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-20 Malaysiakini di Kuala Lumpur, malam ini.
Premesh berkata keputusan itu adalah sebagai sebahagian daripada peralihan untuk menyerahkan Malaysiakini kepada kepemimpinan baru, sebelum meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada masa akan datang dan hanya memainkan peranan di peringkat lembaga.
Jelas Premesh, Gan pula, yang juga ketua pengarang Malaysiakini, akan "bertahan buat seketika".
"Sebagai sebahagian daripada peralihan, Steven dan saya bersetuju untuk mendermakan separuh saham kami kepada Amanah Malaysiakini, yang akan ditubuhkan pada masa akan datang.
"Kami masing-masing akan mengekalkan 15 peratus saham, buat masa ini. Kami sentiasa memegang hak pemilikan Malaysiakini untuk manfaat masyarakat dan sudah tiba masanya kami memformalkannya," kata Premesh dalam ucapannya di hadapan 1,000 tetamu.
Premesh dan Gan masing-masing mengawal 30 peratus kepentingan dalam Malaysiakini, manakala 11 peratus lagi dimiliki oleh kakitangan Malaysiakini dan 29 peratus oleh Dana Antarabangsa Pembangunan Media (MDIF).
Majlis makan malam Malaysiakini dihadiri tetamu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Menteri Industri Utama Teresa Kok, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, penasihat DAP Lim Kit Siang, penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa, Anggota Parlimen Damansara Tony Pua, ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, bekas MP Batu Tian Chua, dan bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.
Selain itu, turut hadir termasuklah Naib Presiden MCA Ti Lian Ker, wakil-wakil NGO seperti Sisters in Islam, pertubuhan wanita Awam, Yayasan Teoh Beng Hock untuk Demokrasi, CEO Kumpulan AirAsia Tony Fernandes, pengasas Hindraf P Uthayakumar dan aktivis buruh veteran Bruno Pereira.
Mengulas lanjut, Premesh berkata beliau juga berharap dapat menukar badan amanah itu dalam bentuk yayasan pada masa depan.
Premesh menegaskan bahawa Malaysiakini akan terus menjadi media bebas.
"Entiti komersial akan dimiliki - sekurang-kurangnya sebahagiannya buat masa ini - oleh pihak yang bukan berasaskan keuntungan, yang bukan bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan," katanya.
Menurut Premesh, penubuhan amanah dan yayasan itu adalah bagi dua tujuan.
"Pertama, ia adalah untuk mewujudkan satu struktur jangka panjang yang akan mewakili nilai-nilai yang kami percaya, untuk memastikan sentiasa ada suara untuk golongan terpinggir, institusi yang akan bertanya soalan susah terhadap penguasa, yang dapat dijadikan rujukan negara bagi berita yang tidak berat sebelah, tanpa mengambil kira siapapun yang memerintah.
"Kedua, kami berharap yayasan Malaysiakini dapat membantu meningkatkan kemudahan perumahan, menyokong sistem pengangkutan awam yang lebih baik, meningkatkan kualiti pendidikan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk semua - ini adalah isu kritikal yang dihadapi negara," katanya.