Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan apa yang diberitahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali kepadanya berhubung pertemuan dengan anggota parlimen BN baru-baru ini, yang mendorong pelbagai spekulasi politik.

Bercakap pada sidang akhbar di Bangi petang tadi, perdana menteri berkata beliau bertanya Azmin apa yang dibincangkan pada pertemuan itu.

"Saya tanya Datuk Seri Azmin apa dia bincang, dia kata orang Umno ini, mereka sudah 'hilang parti', tidak tahu hendak buat apa.

"Mereka tanya sama ada nak masuk parti lain atau tidak. Ada yang membuat kenyataan mereka sokong kepimpinan Dr Mahathir," katanya.

Menjawab satu soalan lain, Mahathir mempertahankan timbalan presiden PKR berkenaan perjumpaan itu.

"Hak dia untuk jumpa sesiapa saja".

"Kalau parti dia tak setuju, parti dia bagitahulah. Dia bukan parti saya (Bersatu)," kata pengerusi Bersatu itu.

Pertemuan yang berlangsung di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam Isnin lalu dihadiri lebih 20 anggota parlimen Umno, termasuk Hishammuddin Hussein.

Sebelum ini, Sekretariat Pakatan Harapan (PH) mendakwa Hishammuddin merancang untuk membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah, namun dinafikan bekas naib presiden Umno itu.

'Menteri beri kontrak untuk sokongan politik'

Sementara itu, Mahathir turut mengulas mengenai pertemuan 30 minit dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam.

Beliau berkata Anwar membangkitkan dakwaan menteri menyalahgunakan kuasa dan memberikan projek untuk mendapatkan sokongan politik.

Mahathir berkata, walaupun menteri mempunyai hak memperuntukkan projek di kawasan masing-masing, mereka tidak perlu berbuat demikian di kawasan lain.

"Tapi tak payahlah pergi kawasan-kawasan lain," katanya ketika ditanya sama ada dakwaan itu dikaitkan dengan pertemuan Azmin dengan anggota parlimen Umno.

Berikutan pertemuan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dimaklumkan bahawa perbincangan itu bagi menyalurkan projek-projek kerajaan ke kawasan anggota parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Kamarudin Jaafar, yang turut hadir pada mesyuarat itu, berkata perbincangan tersebut berkisar mengenai masa depan dan perpaduan negara, mengurangkan 'politiking' serta taklimat mengenai  Dasar Kemakmuran Bersama.

Azmin sementara itu menyifatkan perjumpaan itu sebagai pertemuan biasa.

Spekulasi bertiup kencang bahawa walaupun Mahathir berjanji menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Anwar, Azmin juga bersaing untuk merebut jawatan itu.

Spekulasi itu juga mendakwa Azmin adalah pilihan utama bagi Mahathir dan individu yang rapat dengan perdana menteri itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS