Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan luluskan RM30 juta kepada tabung amanah TARUC
Diterbitkan:  Nov 22, 2019 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Kerajaan meluluskan sekurang-kurangnya RM30 juta kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) melalui sebuah tabung amanah yang akan diuruskan oleh persatuan alumni institusi pengajian tinggi itu.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata wang dari tabung amanah itu hanya boleh disalurkan kepada TARUC sebaik sahaja MCA melepaskan kawalan ke atas kolej universiti itu.

“Langkah baru ini diambil berikutan fitnah pihak tertentu yang mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun kepada TARUC sekiranya TARUC menghormati prinsip pengasingan di antara milikan parti politik dan institusi pendidikan kelak,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata dana RM30 juta akan dibayar mulai tahun ini sebaik sahaja tabung amanah itu ditubuhkan, dan RM30 juta lagi akan dibayar pada tahun hadapan.

Beliau berkata tabung amanah itu akan diuruskan oleh bekas dan wakil pelajar TARUC serta seorang wakil kementerian kewangan.

Terma rujukan tabung amanah tersebut adalah ia dikendalikan untuk manfaat TARUC sebagai sebuah institusi pendidikan dan pelajar-pelajarnya.

“Dengan kata lain, Tabung Amanah tersebut akan mengendalikan dana RM30 juta setiap tahun tersebut tanpa penglibatan atau campur tangan kerajaan atau mana-mana parti politik termasuk daripada MCA mahupun Pakatan Harapan,” katanya.

Semasa pentadbiran BN, dana untuk TARUC diperuntukkan melalui bajet persekutuan setiap tahun dan disalurkan terus ke universiti.

Walau bagaimanapun, Lim sebagai menteri kewangan berkeras bahawa MCA perlu melepaskan kawalannya ke atas TARUC sebelum dana kerajaan disalurkan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS