Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa kematian model Belanda, Ivana Esther Robert Smit disebabkan oleh 'individu yang dikenali atau tidak dikenali' dan seterusnya membatalkan keputusan koroner bahawa kematiannya disebabkan kemalangan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan keluarga Smit untuk mengkaji semula keputusan koroner pada Mac lepas.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata, dalam keadaan tertentu, tidak ada penyiasatan yang mencukupi dilakukan untuk kemungkinan kematian akibat pembunuhan.
"Walaupun koroner, dalam keputusannya telah bersetuju dengan penemuan ahli patologi Belanda, Dr Frank Van Der Goot bahawa Smit dan tuan rumahnya, pasangan Alex Johnson dan Luna Almaz, mungkin terlibat dalam pergelutan sebelum kematiannya.
"Walaupun mahkamah bersetuju dengan saksi pakar itu, beliau memberi keputusan sebagai misadventure (kemalangan). Ini tidak konsisten dengan penemuannya berkenaan dengan keterangan Dr Frank," kata hakim itu.
Beliau kemudian mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mengarahkan pihak polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.
Semasa inkues, terdapat keterangan yang mendedahkan bahawa ada tanda cengkaman di lengan dan trauma di belakang kepala simati, botol pecah dan asid deosiribonukleik (DNA) Johnson di bawah kuku model berkenaan.
Berdasarkan keterangan saksi-saksi, termasuk pegawai penyiasat, mahkamah mendapati bahawa si mati meninggal dunia akibat jatuh dari tempat yang tinggi.
Smit yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol, ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium CapSquare Residences di Dang Wangi di Kuala Lumpur, dalam keadaan bogel, 14 tingkat di bawah unit kediaman Johnson dan Almaz di tingkat 20 pada 7 Dis 2017.
Koroner Mahyon Talib dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati tiada siapa yang bertanggungjawab secara jenayah terhadap kematian model itu.
Pasangan itu mendakwa telah melakukan hubungan seks dengan Smit sebelum kematiannya tetapi menyatakan mereka tidak bersalah. Mereka mengatakan model itu meninggal dunia akibat kecuaiannya sendiri, tetapi mereka tidak memberi keterangan semasa inkues itu.
Keluarga Smit diwakili peguam Sankara Nair, manakala Timbalan Pendakwa Raya Kirubin Subramaniam mewakili pendakwaan.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Nair berkata keluarga itu gembira dengan keputusan mahkamah.
"Saya harap polis akan menyiasat kematian Smit sebagai pembunuhan," katanya.
Sementara itu, wakil polis Belanda, Gerald van Heerwaarde, berkata keputusan itu akan diserahkan kepada ibu pejabat.
"Kami akan melihat bagaimana kami boleh membantu polis Malaysia dalam penyiasatan mereka," katanya.
- Bernama