Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanya tinggal 50 harimau belang di Perak - Perhilitan

DUN PERAK | Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini dimaklumkan dianggarkan terdapat antara 40 hingga 50 ekor harimau belang di negeri ini berdasarkan inventori yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari berkata inventori bagi spesies-spesies tertentu terutamanya mamalia besar yang terancam turut melibatkan gajah dan seladang.

Katanya berdasarkan rekod terkini dalam tinjauan yang dijalankan, jumlah gajah pula antara 100 hingga 130 ekor dan seladang sebanyak 50 hingga 60 ekor.

"Habitat-habitat utama tiga spesies yang terancam ini adalah di Hutan Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, Gerik serta Hutan Simpan Piah, Sungai Siput," katanya ketika menjawab soalan Loh Sze Yee (PH-Jalong) yang ingin tahu bilangan haiwan terpelihara yang masih wujud di Perak, kesan kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ dan langkah-langkah diambil kerajaan bagi menjaga kepupusan haiwan liar yang terancam.

Abdul Aziz berkata secara umumnya, bagi mamalia darat besar iaitu spesies yang melebihi 20 kilogram (kg), terdapat 12 spesies mamalia masih ada di Perak iaitu gajah, seladang, tapir, harimau, rusa, beruang, kijang, kambing gurun, harimau kumbang, harimau dahan, babi hutan dan anjing hutan.

Menurut Abdul Aziz, kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia berjaya membawa kepada tangkapan melibatkan empat warga Thailand pada September dan Oktober lepas.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Paul Yong Choo Kiong berkata kerja-kerja membaik pulih bagi pengoperasian semula loji insinerator dan pembinaan tapak pelupusan ‘bottom ash’ sedang dijalankan di Teluk Cempedak, Pulau Pangkor.

Yong berkata kerja-kerja berkenaan dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pembuangan sisa pembakaran oleh loji dengan jangka hayat penggunaan selama 10 tahun.

Katanya pembukaan tapak sampah yang baru memerlukan kos sangat tinggi selain mendatangkan kesan pencemaran alam sekitar yang serius sekiranya tapak pelupusan tidak diselia dan diselenggara dengan kaedah betul.

"Namun, terdapat keperluan untuk membuka tapak pelupusan sisa pepejal yang baharu kerana berkemungkinan besar jumlah sisa pepejal yang dibuang setiap hari ke tapak pelupusan akan semakin bertambah," katanya ketika menjawab soalan Ng Shy Ching (PH-Teja).

Ng ingin tahu senarai tapak pelupusan sisa pepejal di Perak dan tempoh jangka hayat penggunaan, sekiranya terdapat cadangan membuka tapak pelupusan sisa pepejal dan adakah sebarang alternatif yang diguna pakai atau berpotensi untuk digunakan di negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS