Apabila dimaklumkan militan Yazid Sufaat telah bebas daripada tahanan di Simpang Renggam, bekas pemimpin pertubuhan haram Jemaah Islamiah (JI) Malaysia, Nasir Abas menyatakan keraguannya.
"Benarkah sudah bertaubat? Apakah itu kenyataan dia?
"Menurut saya, selama ucapan itu bukan keluar dari mulutnya, patut diragukan.
"Pembebasan Yazid bukan kerana dia sudah bertaubat, tetapi sudah waktunya harus bebas sebab masa tahanannya sudah selesai. Bukankah begitu?” kata Nasir memberitahu Malaysiakini melalui pesanan teks dari Indonesia, tempat tinggalnya sekarang.
Yazid, 55, merekrut militan untuk al-Qaeda dan satu-satunya rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan serangan 11 September 2001 terhadap World Trade Center di Amerika Syarikat.
Yazid dibebaskan setelah penahanannya selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) berakhir dan selepas semakan oleh Lembaga Pencegahan Keganasan.
Pihak berkuasa menangani kebimbangan mengenai pembebasan Yazid, dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata selepas bebas Yazid terus dipantau dan dikenakan syarat-syarat yang ketat.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini sebelum ini, salah seorang pegawai pemulihan Yazid di penjara, Ahmed El Muhammady, berkata beliau bersetuju dengan pembebasan militan itu kerana merasakan dia telah menyesali tindakannya dan mengalami perubahan hati.
Sementara itu, Nasir, bekas militan yang mengetuai JI sehingga penangkapannya pada tahun 2003 dan telah dipulihkan, berkata Yazid sepatutnya dibenarkan bercakap kepada pihak media supaya mereka dapat mendengar sendiri pengakuan yang Yazid sudah bertaubat.
Walaupun beliau menyatakan kelulusan untuk menggunakan peranti penjejakan Yazid, beliau juga berkata proses pemulihan tidak sepatutnya berakhir dengan pembebasan bekas penjara itu.
Menurutnya, proses pemulihan Yazid tidak wajar terhenti dengan pembebasanny walaupun bekas militan itu memakai peranti penjejak pergerakan.
"Jika dia dipakaikan ankle monitor (peranti pengawasan) bererti belum boleh dikatakan bebas, status masih tahanan.
"Sebaiknya Yazid diberi kesempatan untuk diwawancara media, supaya jelas benar ucapannya bertaubat," kata Nasir (gambar, bawah).
Hari ini, Yazid dilaporkan telah diletakkan di bawah tahanan rumah serta dilarang menggunakan Internet dan memakai peranti pengawasan.
Nasir sendiri pernah ke Afghanistan pada lewat 1980-an bagi latihan peperangan, malahan melatih anggota militan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di hutan di Mindanao.
Dia kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dalam program pemulihan militan dan menjadi perunding kanan bagi Bahagian Penyelidikan Psikologi Sosial Gunaan (DASPR) yang berpengkalan di Jakarta.
Sepanjang 16 tahun yang lalu, beliau telah berjaya memulihkan ramai militan dan memberitahu Malaysiakini bahawa pemulihan itu boleh dilakukan.
Katanya, ramai juga yang tidak hanya bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama tetapi juga berusaha menghalang keganasan dan menasihatkan rakan-rakan militan mereka yang masih berdegil.
"Menurut saya, kegiatan rehabilitasi tidak hanya dilakukan di dalam penjara. Meskipun sudah di luar penjara, proses rehabilitasi tetap harus berlanjut.
"Cara Malaysia pastinya berbeza dengan cara di Indonesia. Saya tidak dapat menilai melalui cara Indonesia," kata Nasir lagi.
Dalam pada itu, Malaysiakini juga mewawancara Ahmed El Muhammady bulan lalu mengenai penilaian pegawai pemulihan itu terhadap Yazid.
Ahmed yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata ketika bercakap dengan Yazid semasa program pemulihan, tahanan itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda penyesalan terhadap kesilapan masa lalunya.
"Saya setuju Yazid Shafaat dibebaskan.
"Dia sudah menunjukkan penyesalan kerana kebanyakan masa dihabiskan masa dalam penjara bukan bersama keluarga dan anak-anak. Dia tak lihat anak-anak membesar sebagaimana orang lain.
"Kedua, faktor umur. Dia sudah tua, 55. Dia beritahu pada saya bahawa "saya sudah tidak larat lagi. Kalau dulu, masa muda-muda dulu, semangat kuat. Ini sudah tua. Saya cuma nak balik rumah saja," kenang Ahmed.
Katanya, Yazid yang ditemuinya di penjara suka bersembang dan mendakwa tindakan Yazid yang suka bercerita kisahnya kepada tahanan lain disalah fahami sebagai cubaan merekrut mereka terlibat dengan Al-Qaeda.
"Namun, Yazid ini dia suka bercakap dan bersembang dalam penjara. He is very talkative person. Kadang kala orang anggap dia rekrut orang. Sebenarnya dia bercerita pengalaman dia. Niat dia nak bercerita. Bukan nak rekrut. (Ini berdasarkan temu bual saya dengan tahanan lain).
"Saya cadangkan bebas dengan bersyarat - pemantauan yang berterusan. Sama ada dari segi pengawasan elektronik," kata Ahmed.
Yazid, bapa kepada empat orang anak yang pernah menjadi juruteknik perubatan angkatan tentera Malaysia, menerima hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2016 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyimpan maklumat mengenai kegiatan pengganas pada tahun 2012.
Dia dilaporkan ditangkap semula di bawah Pota pada Disember 2017 kerana didakwa merekrut tahanan lain untuk menyertai Al-Qaeda semasa dia dipenjarakan.
Walaupun begitu, seperti kebanyakan tahanan lain yang menjalani pemulihan, Ahmed berkata Yazid masih berpegang kepada isu atau cara pemikiran tertentu walaupun tidak menyokong keganasan, seperti 'jihad adalah wajib dalam Islam'.
"Tapi dia nampak ingin berubah. Satu benda lagi, pada peringkat awal, dia rasa undang-undang buatan manusia adalah undang-undang yang bersifat taghut, dan dia melarang semua anak dia mengambil undang-undang. Pada peringkat awal. Namun bila saya jumpa, dia bagi tahu saya dia membenarkan anak dia ambil undang-undang.
"Dia ada empat orang anak, salah seorang adalah pelajar jurusan undang-undang. Dan dia membenarkan. Dia minta nasihat saya. Saya kata itulah tanda sayang anak kepada ayah. Dia ambil undang-undang untuk melindungi ayah dia.
"Di sini saya nampak berlaku perubahan fikiran,” kata Ahmed kepada Malaysiakini.
Mengenai persetujuannya supaya ahli biokimia yang mengikuti pengajian di Amerika Syarikat itu, Ahmed menjelaskan pembebasan Yazid dengan syarat-syarat ketat, termasuklah pengawasan dan memakai peranti penjejak pergerakan.
"Kedua, engagement untuk tujuan pemulihan. Itupun perlu dilakukan oleh orang tertentu. Bukan hantar siapa-siapa saja untuk buat pemulihan.
"Yazid ini individu yang hanya bercakap kepada orang yang dia selesa saja. Kalau kita hantar orang yang dia tak suka, sense of animosity, ia akan backfire. Perlu diperiksa dan dipilih," katanya lagi.
Rumah Yazid di Kuala Lumpur digunakan oleh anggota kanan Al-Qaeda untuk bermesyuarat, salah satunya melibatkan perbincangan mengenai serangan 11 Sept.
Dia juga dikatakan telah menyediakan penginapan kepada dua perampas pesawat dan menyediakan dokumen kerja untuk yang lain. Dia sebelum ini ditahan di bawah ISA yang dimansuhkan sekarang pada tahun 2002 dan dibebaskan pada tahun 2008.
Pada tahun 2000, dia didapati telah memperoleh empat tan ammonium nitrat, yang bertujuan untuk aktiviti pengeboman di Singapura.