Pegawai Jabatan Audit Negara Nor Salwani Muhammad menjadi perhatian ramai dan mendapat pujian di media sosial susulan tindakannya menyimpan salinan asal laporan audit 1MDB yang diarah dimusnahkan.
Tidak mahu ketinggalan menyampaikan penghargaan, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Nor Salwani sebagai wirawati dan mencadangkan agar dia diangkat sebagi Tokoh Maal Hijrah.
"Saya syor Puan Nor Salwani Muhammad, Jabatan Audit Negara dinobat Tokoh Maal Hijrah.
"Ini contoh wirawati Islam dan Melayu yang amanah, telus dan berani serta Islamik. Bukan kebencian cetek yang digambarkan orang yang mendabik dada pertahan agama, bangsa dan tanah air.
"Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud 'jihad yang paling afdhal ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim'," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata Nor Salwani telah melangkaui tugasnya dan mengikut suara hati nuraninya.
Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin, yang merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, juga memuji keberaniannya Nor Salwani itu.
"Dalam keadaan di mana dia tidak dapat melawan mereka yang menyalahgunakan kuasa, dia masih melakukan apa yang perlu dilakukan walaupun terdapat risiko yang besar," katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook beliau.
Artis grafik terkenal Fahmi Reza juga mencipta poster khas bagi mengangatka wanita itu dengan keterangan bertulis "berani mengingkari koruptor".
Salwani semalam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia secara rahsia menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal yang diterbitkan oleh jabatan itu pada 2016.
Bosnya ketika itu - ketua audit negara, Ambrin Buang - memerintahkan agar semua 60 naskhah laporan itu dimusnahkan untuk mengelak kebocoran.
Salinan itu kini dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit berkenaan.
Salwani juga membekalkan lebih banyak bukti utama dalam bentuk rakaman audio selama dua jam dan 45 minit yang dirakamkan pada mesyuarat 24 Februari 2016, yang dihadiri oleh pegawai tertinggi kerajaan dan 1MDB.
Katanya, beliau memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum mesyuarat bermula.