Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan untuk memindahkan kes pengubahan wang haram dihadapi penasihat undang-undang Umno, Mohd Hafarizam Harun, dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah mengikut Seksyen 417 (1) (e) Kanun Tatacara Jenayah, selepas mendengar permohonan daripada peguam Hasfarizam, Hasnal Rezua Merican.

Permohonan itu tidak menerima bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Hasnal berkata, elemen-elemen yang harus dibuktikan dalam perbicaraan anak guamnya adalah elemen-elemen sama yang perlu dibuktikan dalam kes Najib Razak, berhubung dana SRC dan 1MDB.

Sedangkan katanya, kes SRC telah pun selesai di peringkat akhir kes pendakwaan dan mahkamah telah berpuas hati semua elemen untuk membuktikan kesalahan telah dibuktikan oleh pendakwaan.

“Jadi terdapat dapatan fakta dan dapatan undang-undang yang telah dibuat oleh mahkamah tinggi. Ini akan menyukarkan mahkmaah sesyen apabila mendengar perbicaraan Mohd Hasfarizam kerana ia perlu membuat dapatan yang sama.

“Adakah mahkamah (sesyen) akan berada dalam satu pemikiran yang objektif, boleh berlaku saksama atau (akan) berasa terkekang atau perlu untuk mengikuti keputusan yang telah dibuat, atau kebebasan untuk berpaling daripada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah tinggi.

“Ini semua adalah situasi yang tidak kondusif untuk satu perbicaraan yang saksama,” katanya kepada pemberita.

Pada 21 Feb lepas, Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada Najib berjumlah RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April dan 4 Nov, 2014.

Bagi pertuduhan kedua, peguam itu didakwa mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Feb, 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Jelas Hasnal, dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa keputusan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah tinggi boleh dibuat melalui dua cabang undang-undang, iaitu Seksyen 417 (1) (a) dan Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen 417 (1) (a) menyatakan kuasa mahkamah tinggi untuk memindahkan kes jenayah atas pertimbangan “bahawa sesuatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah rendah daripadanya”.

Manakala Seksyen 417 (1) (a) pula dibuat atas pertimbangan “bahawa perintah itu adalah suaimanfaat bagi tujuan keadilan atau diperlukan oleh mana-mana peruntukan kanun ini”.

“Jadi mahkamah telah menggunakan cabang itu (e), untuk mencapai keadilan secara lebih efektif, lebih telus, maka kes itu dipindahkan menggunakan cabang (e), dipindahkan ke mahkamah tinggi.

“Jadi hakim mahkamah tinggi boleh ada kebebasan untuk membuat satu dapatan yang bercanggah dengan dapatan hakim mahkamah tinggi yang lain. (Hakim) Makmaah sesyen ni susah sikit,” katanya lagi.

Keputusan itu seterusnya dimaklumkan ke mahkamah sesyen, sebelum proses pengurusan akan dilakukan antara kedua-dua mahkamah sebelum tarikh sebutan diputuskan kemudian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS