Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Peguam defendan dalam kes saman yang difailkan MP Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, New Straits Times Press (M) Bhd dan KiniTV menyorot kenyataan kontroversi pemimpin Umno itu terhadap MP Seputeh Teresa Kok.

Ketika pemeriksaan balas terhadap Tajuddin yang merupakan saksi pertama saman itu, para peguam berhujah bahawa kenyataan MP Pasir Salak di parlimen pada 21 November 2016 sebagai "seksis, membenci wanita dan telah mencerca nama keluarga orang Cina."

Kenyataan yang dipersoalkan merujuk kata-kata Tajuddin: "Teresa Kok sebagai satu-satunya MP perempuan yang memiliki 'kok'."

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Tajuddin terlibat dalam penghujahan bersama para peguam untuk defendan pertama dan kedua.

Bercakap dalam bahasa Inggeris, Tajuddin menjelaskan kenyataannya itu merujuk kepada nama keluarga Teresa.

"Saya merujuk kepada nama keluarganya [...] Saya tidak mahu layan (tafsiran maksud) A, B, C, D [...] bahasa Inggeris kamu dan bahasa Inggeris saya mungkin berbeza. Saya tidak tahu bahasa Inggeris yang kamu cakap," kata Tajuddin selepas peguam Khalid, SN Nair membuat beberapa cadangan.

Terdahulu Nair berkata penggunaan perkataan Inggeris 'a' membayangkan rujukan terhadap kata nama khas.

"(Sama ada) 'a' atau tidak, ia masih Kok," jawab Tajuddin selepas berulang kali diminta Nair untuk menjawab sekiranya beliau bersetuju atau tidak terhadap sebarang cadangannya.

"Saya katakan kepada kamu bahawa kamu telah menggunakan perkataan itu (Kok) dalam konteks alat kelamin lelaki," kata Nair.

Bagaimanapun, Tajuddin tidak bersetuju dengan cadangan Nair itu.

Tajuddin selanjutnya tidak bersetuju dengan cadangan Nair bahawa beliau telah bertindak dengan sikap seksis, lucah dan kasar.

"Segala-galanya, kamu betul, saya salah. Macam mana boleh begitu? Keadilan apakah ini?" kata Tajuddin yang kelihatan terganggu apabila dicadangkan beliau mempunyai sejarah perbalahan dengan media dan ahli parlimen selain Khalid.

"Saya akan melawan orang berniat jahat (ill will) kepada saya [...] Kamu tahu, saya seorang lelaki yang baik? Kami orang yang berbudaya!" katanya yang seolah meradang sebelum prosiding berakhir untuk rehat tengahari.

'Jangan buli saksi'

Selepas rehat, prosiding bersambung dengan pemeriksaan balas oleh peguam NSTP, Rueben Mathiavaranam, yang merujuk kenyataan Tajuddin terhadap Kok direkod dalam Hansard Dewan Rakyat dan kenyataan saksi yang ditandanganinya.

Kata peguam, berdasarkan hansard, Tajuddin telah menggunakan perkataan "a Kok" yang menunjukkan rujukan kepada kata nama tertentu, perkataan "a" telah tidak dimasukkan daripada petikan yang sama dalam kenyataan saksi MP Pasir Salak itu.

Cubaan peguam berulang kali untuk mendapatkan penjelasan tentang perbezaan antara kedua-dua petikan kenyataan itu mencetuskan satu lagi bantahan dari Tajuddin.

"Saya tidak akan mendengar hal-hal karut daripada kamu, jangan buli saksi!" kata Tajuddin yang terpaksa berulang kali diberitahu supaya bertenang dan menjawab soalan yang ditanya.

Mathiavaranam mencadangkan Tajuddin telah menghina nama keluarga orang Cina, namun Tajuddin berkata beliau mempunyai ramai kawan Cina.

Tajuddin juga tidak bersetuju bahawa artikel News Straits Times mengenai kenyataan Khalid terhadapnya ditulis dengan cara yang adil walaupun turut menyertakan komennya.

Prosiding akan diteruskan pada 11 Disember di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Latifah Mohd Tahar dengan pemeriksaan balas oleh peguam untuk KiniTV sebagai defendan ketiga.

Tajuddin memfailkan saman itu ekoran beberapa sidang media yang bermula apabila Tajuddin merujuk Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang memiliki "kok" dan Khalid bertindak balas dengan memanggil beliau 'sial' di parlimen pada 21 November 2016.

Tajuddin menyaman Khalid selepas beliau menegaskan kembali kenyatan "sial" serta mempersoalkan kelakuan Tajuddin dalam sidang media di luar Parlimen, beberapa hari selepas pertelingkahan itu berlaku.

Saman itu mendakwa kenyataan Khalid bersifat fitnah kerana menggambarkan Tajuddin, antara lain, bukan seorang muslim yang baik, terkutuk ke neraka, tidak bermoral dan tidak layak menjadi seorang anggota parlimen dan timbalan menteri.

Tajuddin menyaman NST kerana menyiarkan kenyataan Khalid itu.

Saman itu menyatakan Khalid dan NST enggan memohon maaf dan berkata kenyataan itu bukan fitnah. Tajuddin turut menyaman KiniTV kerana menyiarkan rakaman sidang media Khalid itu yang diadakan pada 24 November 2016.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS