Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ezam: Apec lagi setahun, Mahathir
Diterbitkan:  Nov 21, 2019 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec).

Hari ini bekas senator Ezam Mohd Noor mengingatkan bahawa acara itu masih lama sedangkan “kelangsungan hidup rakyat biasa sekarang amat susah”.

"Alasan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) November 2020 juga satu muslihat mencari ruang terus berkuasa.

"Ya, Apec penting tetapi lebih penting adalah kelangsungan hidup rakyat biasa sekarang yang amat susah dan dipamerkan dengan jelas di Tanjung Piai. Apec satu tahun lagi, rakyat melarat sekarang," kata beliau.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai muslihat bagi mencari ruang untuk terus berkuasa.

"Rombakan kabinet hanya satu muslihat untuk kelemahan diri sendiri yang jelas dipamerkan oleh undi rakyat di Tanjung Piai.

“Kemarahan rakyat memang kepada jentera kerajaan seluruhnya tetapi bukankan perdana menteri sendiri ketua kerajaan?

Dr Mahathir semalam berkata beliau sedia mempertimbangkan rombakan kabinet diadakan susulan kekalahan Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya, Mahathir berkata beliau akan mengkaji semula prestasi menteri-menteri kabinet.

Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak menyebut sebarang garis masa, namun tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum sidang kemuncak Apec yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada November tahun depan.

Dalam masa yang sama, Mahathir berkata kerajaan mesti berhati-hati sebelum membuat "perubahan radikal" menjelang acara antarabangsa yang besar dan penting itu.

‘Mesej dari Allah’

Mengulas lanjut, Ezam berkata apa yang berlaku di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai adalah mesej dari Allah SWT dengan satu peristiwa luar biasa dari penghujung benua negara.

"Seharusnya cukup menginsafkan dan sebagai seorang yang di penghujung usia beliau seharusnya mengambil mesej dan sikap yang betul.

"Bukan ikut perangai firaun yang semakin lama berkuasa semakin angkuh dan gila kepada kuasa," katanya.

PH kalah teruk dalam pilihan raya kecil itu susulan peralihan Cina yang ketara di kawasan parlimen campurtan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS