Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Sebelum PRU minat jadi calon, lepas menang tak serius’

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyelar sikap sesetengah ahli parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga sesi pagi semalam bermula lewat kerana tidak mempunyai korum yang mencukupi.

Katanya, beliau akan bercakap dengan ahli parlimen Pakatan Harapan berhubung perkara ini.

“Sebelum pilihan raya mereka sangat berminat menjadi calon, tetapi selepas menang mereka seolah-olah tidak serius melaksanakan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada wartawan.

Dr Mahathir sebelum itu merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 (ISWC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku.

Semalam, sidang Dewan Rakyat tidak dapat dimulakan seperti lazimnya susulan jumlah ahli parlimen yang tidak mencukupi.

Selepas deringan loceng pada tepat jam 10 pagi sebagai isyarat untuk ahli parlimen memasuki dewan dan diikuti bacaan doa, ahli parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) memberitahu speaker bahawa korum tidak mencukupi.

Ketika itu hanya 24 ahli parlimen yang hadir. Mengikut Peraturan Mesyuarat, Dewan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 26 ahli parlimen tidak termasuk pengerusi sebelum boleh bersidang.

Ini bukan kali pertama perkara seumpama itu berlaku. Pada 17 Oktober lalu, sidang Dewan Rakyat terpaksa dihentikan seketika susulan jumlah ahli parlimen yang kurang daripada 26 orang.

Ketika ditanya adakah kekurangan korum sebagai tanda penentangan terhadapnya, Dr Mahathir berkata, ahli parlimen terbabit boleh menyuarakan pandangan secara terbuka.

“Banyak cara lain untuk mereka menyatakan pandangan, jika tidak suka saya. Mereka boleh katakan secara terbuka.

“Saya pun tertakluk kepada kritikan seperti biasa. Jika kita seorang pemimpin, kita memang menjangka akan dikritik,” katanya.

Mengenai ‘kerajaan pintu belakang’, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menolak kerajaan pintu belakang.

“Ya saya setuju dengan pandangannya itu. Mesti ikut jalan yang betul, ” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS