Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan agresif dalam memantau aktiviti anak mereka di media sosial bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penganiayaan seksual.
Beliau berkata isu penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam era dunia tanpa sempadan, dengan kemudahan gajet dan Internet yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
“Kita perlu tanamkan kesedaran mengenai wujudnya ‘cyber sex grooming’ (pengantunan siber) melalui pelbagai medium di media sosial dan kita mahu kanak-kanak dilengkapkan dengan maklumat dan panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pihak yang sangat tidak bertanggungjawab
“Selain itu, dapatan terkini turut menunjukkan kejelikan dalam ‘Dark Web’ mengenai bahan lucah kanak-kanak yang dimuat turun oleh pengguna Internet di Malaysia,” katanya ketika berucap pada program #KidsTakeOverParliament: Kita Peduli di Dewan Bankuet, Parlimen.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan wakil tetap Unicef di Malaysia Marianne Clark-Hattingh turut menghadiri program anjuran Kementerian Pendidikan dengan Unicef Malaysia serta Project ID yang menyentuh isu buli di sekolah, dan disertai 40 pelajar dari seluruh negara.
Mengenai gejala buli, Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau percaya dengan sistem pendidikan (formal atau tidak formal) serta sokongan daripada keluarga dan masyarakat, masalah buli boleh ditangani bersama-sama.
“Kita semua mestilah memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam memupuk persekitaran yang positif supaya gejala berunsur keganasan ini dapat dibendung supaya tidak terus merebak,” katanya.
Sementara itu, Teo dalam ucapannya berkata KPM dengan kerjasama pelbagai agensi telah bekerjasama untuk merancang intervensi dan sokongan kepada mangsa untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan kesedihan, kemurungan serta hilang keyakinan diri.
Pada program itu, pelajar berkenaan, yang merupakan bekas mangsa buli, menyatakan pandangan mereka kepada ahli parlimen berhubung isu buli, selain menyampaikan syor dasar antibuli untuk diperkenalkan di sekolah kepada Teo yang turut disaksikan Dr Wan Azizah.
- Bernama