Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Veteran Umno kesal 'sandiwara' MP bertemu Azmin
Diterbitkan:  Nov 20, 2019 4:23 PM
Dikemaskini: 3:33 PM

Veteran Umno menyatakan rasa kesal terhadap tindakan 17 anggota parlimen parti itu kerana mengadakan pertemuan sulit dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Veteran Umno Malaysia, Mustapha Yaakub berkata perkara tersebut tidak wajar berlaku selain menyifatkan alasan yang diberikan kepimpinan parti mengenai pertemuan itu sebagai kebudak-budakan dan melucukan.

"Veteran kesal dengan sandiwara ini. Ahli Umno juga bosan dengan perbuatan 'baling batu sembunyi tangan' wakil rakyat mereka yang tiada pendirian dan terhegeh-hegeh seperti 'hidung tak mancung pipi tersorong-sorong'.

“Alasan yang kononnya perjumpaan itu untuk membincang projek di kawasan parlimen masing-masing adalah kebudak-budakan dan melucukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perjumpaan sulit 17 MP Umno yang berjumpa dengan Azmin di kediaman rasminya di Putrajaya, pada malam Isnin lalu.

Mustapha juga berkata kebiasaannya seorang wakil rakyat akan berjumpa seorang menteri di pejabatnya untuk berbincang hal projek dan bukannya pada waktu malam di rumah menteri di dalam kumpulan yang besar.

"Melihat kepada situasi politik mutakhir ini, veteran Umno yakin perjumpaan itu ada kaitan dengan usaha untuk menyelamatkan Mahathir daripada undi tidak percaya oleh Anwar.

“Veteran berpendapat wakil rakyat Umno tidak sepatutnya terlibat dengan kemelut PH sebab itu adalah masalah mereka. Sebagai pembangkang mereka sewajarnya menjauhkan diri daripada turut terheret dan menjadi alat kepada pihak yang sedang bertelagah dalam PH,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mustapha berkata veteran Umno mendesak supaya kumpulan terbabit berhenti menjejaskan reputasi Umno.

“Veteran mendesak ‘pelakon-pelakon’ ini berhenti daripada meneruskan ‘lakonan’ mereka yang boleh menjejaskan kredibiliti Umno sebagai pembangkang yang berwibawa.

"Mereka wajib mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) yang menetapkan sebarang tindakan yang melibatkan parti hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ (keseluruhan) dan tidak secara berkumpulan,” katanya.

Sebelum ini Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Lokman Noor Adam mendakwa anggota parlimen Sembrong, Hisammuddin Hussein mengetuai dan menjadi dalang sekumpulan MP pembangkang mengadakan pertemuan sulit di kediaman rasmi Azmin.

Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga bekas naib presiden Umno, menafikan dakwaan itu dan menyatakan kesediaannya untuk disiasat lembaga disiplin parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS