Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman, hari ini menafikan laporan media yang melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memeriksa telefon bimbit orang awam dengan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya beliau mendakwa, berlaku salah tafsiran dalam laporan media itu dengan penggunaan tajuk yang didakwanya boleh mengundang kekeliruan.
Azis menegaskan, pihak polis tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) apabila perlu membuat pemeriksaan telefon bimbit orang awam.
"Saya berkata, pemeriksaan telefon terhadap orang awam boleh dibuat sekiranya terdapat laporan polis mengesyaki ia digunakan bagi menyebarkan perkara tidak betul, bukannya pemeriksaan akan dibuat secara sewang-wenangnya.
"Ia berdasarkan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memeriksa telefon bimbit seseorang semasa menjalankan siasatan dan semasa menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam.
"Saya maksudkan, polis juga boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Seksyen 103, 104 dan 106 Kanun Tatacara Jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam agensi berita Bernama memetik Aziz sebagai berkata PDRM berhak menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.
Hargai tugas media
Azis dilaporkan berkata perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
“Bagaimanapun orang ramai perlu tahu hak mereka semasa semakan rambang dilakukan termasuk boleh meminta identiti pegawai polis yang melakukan pemeriksaan sebagai rekod jika ada pelanggaran SOP,” katanya.
Laporan itu mendorong bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, berkata PDRM tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit orang awam.
Musa yang dipetik sebuah portal berita hari ini berpendapat, polis hanya boleh memeriksa telefon orang awam jika permintaan itu dikaitkan dengan siasatan.
"Harus ada laporan polis yang dibuat terhadap seseorang, dan mereka menyiasat orang itu, atau polis mengesyaki seseorang terlibat dalam jenayah dan sedang menyiasatnya," katanya.
Aziz berkata apa yang dinyatakan Musa itu memang benar dan selari dengan kenyataan dibuatnya di Dewan Rakyat semalam.
Bagaimanapun, kata ahli parlimen Sepanggar itu, laporan berita mengenainya semalam tidak tepat dan mengelirukan.
Pada masa sama Azis menasihatkan pengamal media agar lebih teliti membuat laporan untuk mengelakkan timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Saya nasihatkan media agar lebih berhati-hati supaya ia tidak memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.
"Apa pun saya menghargai tugas dan pernanan media dalam membantu menyalurkan maklumat kepada orang awam," katanya.