Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya akan semak jadual jika boleh hadir mesyuarat PKR'

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata dia perlu menyemak jadual terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada dapat menghadiri mesyuarat biro politik PKR esok.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil sebelum ini berharap agar semua pemimpin parti menghadiri mesyuarat berkenaan untuk mendapatkan butiran penuh mengenai perjumpaan Azmin dengan ahli parlimen Umno di kediamannya di Putrajaya malam tadi.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan, berkata Azmin, sebagai timbalan presiden, harus hadir di mesyuarat itu.

Ketika ditemui di parlimen petang ini, Azmin berkata beliau perlu menyemak sama ada terdapat acara rasmi yang dia perlu hadiri.

"Jika ada keperluan, saya akan menerangkan (tentang perjumpaan dengan ahli parlimen Umno).

"Saya akan menyemak jadual saya. Biasanya jika saya tidak mempunyai tugas rasmi, saya menghadiri mesyuarat parti," katanya.

Azmin bagaimanapun berkata dia tidak ingat berapa kali dia tidak hadir mesyuarat parti.

"Terlalu banyak kerja. Tetapi saya mempunyai semua rekod. Sekiranya saya berada dalam negara dan tidak mempunyai tugas rasmi kerajaan, saya menghadiri program parti.

"Tetapi jika ada urusan kerajaan, saya bertanggungjawab (untuk hadir urusan kerajaan), termasuk di luar negara. Ia penting," katanya.

Sejak dipilih semula sebagai timbalan presiden PKR, Azmin tidak hadir dalam mesyuarat biro politik, mesyuarat majlis kepimpinan pusat dan pemukiman parti.

Azmin menekankan kepentingan tugasnya untuk memperkenalkan kerajaan PH yang masih baru kepada pihak di dalam dan luar negara.

"Lihat Tanjung Piai (pilihan raya kecil), ramai yang masih belum memahami apa yang diharapkan oleh kerajaan PH dan meletakkan harapan kepada kita (PH) untuk melakukan tugas dengan sebaik mungkin.

"Dan apabila persepsi tidak baik, rakyat menghukum kita. Jadi, walaupun program parti penting, begitu juga dengan program kerajaan," tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS