Menteri Ekonomi Mohamed Azmin Ali menyifatkan pertemuannya dengan lebih 20 anggota parlimen BN di kediamannya di Putrajaya malam semalam sebagai mesyuarat biasa dengan tidak ada perkara yang luar biasa.
Menurut timbalan presiden PKR itu, beliau tidak ingat siapa yang meminta mesyuarat yang menjadi kontroversi itu diadakan.
“Saya pun tak ingat siapa yang minta (adakan pertemuan). Siapa minta, saya bertemu.
“Macam sekarang ini, media minta, bukan saja minta, desak, saya bertemu. Tak ada masalah,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang ini.
Berikut adalah transkrip soalan daripada pemberita dan jawapan Azmin.
Wartawan: Ada apa-apa yang Datuk Seri ingin mengulas, kerana terdapat banyak khabar angin dan juga (Presiden PKR) Anwar Ibrahim menggesa Datuk Seri untuk menghadiri mesyuarat biro politik esok.
Azmin: Jangan dengar khabar angin.
Wartawan: Ulas sikit mesyuarat malam tadi?
Azmin: Yang mana satu? Saya banyak mesyuarat.
Wartawan: Malam tadi di rumah Datuk Seri dengan semua MP dari BN.
Azmin: MP ah? Oh....
Wartawan: Ramai yang tanya tentang mesyuarat itu.
Azmin: Kamu patut tanya mereka, kenapa tanya saya?
Wartawan: Sebab mesyuarat di rumah Datuk Seri.
Azmin: Saya jumpa semua. Ini biasa. Saya ada banyak mesyuarat.
Wartawan: Mesyuarat semalam?
Azmin: Semalam? Mana satu? Pagi, petang, tengahari?
Wartawan: Yang malam kat Putrajaya.
Azmin: Ini mesyuarat biasa. Tidak ada perkara yang luar biasa. Ini mesyuarat biasa dan saya ambil sikap terbuka. Mana-mana pihak yang ingin bertemu dengan saya, saya akan bertemu.
Saya bertemu dengan rakyat, masyarakat perniagaan, ahli-ahli parlimen sama ada dalam PH ataupun bukan PH. Kerana penting sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, kita ingin mendapatkan maklum balas daripada rakyat, daripada masyarakat perniagaan tentang apakah penerimaan dasar-dasar kerajaan.
Ini bukan satu perkara luar biasa yang kita harus gembar-gemburkan. Saya bertemu dengan banyak pihak setiap hari.
Wartawan: Siapa yang minta mesyuarat malam tadi?
Azmin: Saya pun tak ingat siapa yang minta. Siapa minta, saya bertemu. Macam sekarang ini, media minta, bukan saja minta, desak, saya bertemu. Tak ada masalah.
Ditanya sama ada beliau akan hadir pada mesyuarat biro politik PKR yang dijadualkan esok, Azmin berkata beliau akan berbuat demikian jika tiada sebarang tugas rasmi.
Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini mahu timbalannya itu hadir pada mesyuarat tersebut bagi menjelaskan kepada parti tentang pertemuan dengan ahli parlimen Umno di kediaman rasminya di Putrajaya malam semalam.