Mesin membersihkan sungai, yang dinamakan sebagai Interceptor, boleh membantu memulihkan Sungai Klang, tetapi ke mana perginya sampah dan sisa pepejal yang dikutip?
Dicipta oleh NGO Belanda Ocean Clean Up yang diasaskan Boyan Slat, Interceptor adalah sebuah mesin yang menggunakan tenaga sola dan bergerak sendiri.
Ia berfungsi dengan menapis air sungai untuk menghalang sampah-sarap daripada mengalir ke laut.
Bagaimanapun menurut pengarah urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin, menapis air sungai hanyalah satu aspek dalam pelupusan sampah.
Ini kerana beribu tan sisa pepejal yang dikutip di Sungai Kelang terpaksa dihantar ke pusat pelupusan sampah dan hanya sedikit yang boleh dikitar semula, katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu.
“Sungai Kelang berpotensi tinggi untuk menjadi sebuah penjana (ekonomi) di Selangor, tetapi kita perlu menyelesaikan isu sampah ini dulu.
“Sebenarnya kita boleh menghindar masalah ini dengan tidak membuang sampah jenis plastik ke dalam sungai. Pada saya pembersihan sungai (sahaja) tidak lestari," katanya yang mengetuai syarikat itu yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan Selangor untuk mengetuai projek pembersihan sungai, Selangor Maritime Gateway (SMG).
“Kerajaan Selangor komited melaksanakan projek ini. Kini tanggungjawab masyarakat untuk menyebarkan kesedaran tentang keperluan mengurangkan sampah,” katanya lagi.
Katanya, SMG menggunakan konsep 'circular economy' iaitu setiap sumber dalam lingkaran ekonomi itu digunakan sebanyak mungkin, termasuk sebagai sumber dalam kegiatan ekonomi lain.
Justeru SMG cuba mencari cara untuk mengitar semula atau menggunakan semula sampah yang dikutip dari sungai untuk mengurangkan jumlah yang perlu dihantar ke pusat pelupusan sampah, katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, antara sampah yang dikutip setakat ini, hanya sejumlah sisa plastik yang boleh dikitar semula.
Dari 50 ribu tan hingga hanya 800 tan sampah
Malaysia menjadi negara kedua yang menggunakan Interceptor selepas mesin itu menjalani proses prototaip di Jakarta awal tahun ini.
The Interceptor 002, yang kini beroperasi di Sungai Klang, dibina di Pelabuhan Klang sepanjang Julai dan Ogos lalu. Ia diuji pada 15 Ogos dan dilancarkan pada 26 Ogos.
Syaiful berkata Ocean Cleanup menghubungi kerajaan Malaysia dan mencadangkan kerjasama itu pada November 2018, dan perjanjian ditandatangani pada April lalu.
Interceptor 002 akan digunakan di Sungai Klang secara percuma selama setahun. Jika kerajaan mahu terus menggunakannya, ia perlu membelinya dengan harga 700,000 euro (RM3.2 juta).
Negara seterusnya yang akan menggunakan mesin itu ialah Vietnam.
Syaiful berkata pada mulanya terdapat kira-kira 500,000 tan sampah dan sisa pepejal di Sungai Klang tetapi dengan bantuan Interceptor jumlah itu kini telah berkurangan kepada 800 tan.
"Secara am 30 ke 40 peratus sisa yang dikutip adalah plastik. Selainnya adalah sisa organik, kayu, perabot, tayar dan juga satu teddy bear," katanya.
Antara 50 sungai paling tercemar
Menurut Ocean Cleanup, Sungai Klang merupakan antara 50 sungai paling tercemar di dunia.
Tetapi setelah sampah dan sisa pepejal yang dibuang di sungai itu dikeluarkan, kualti airnya menjadi lebih baik, iaitu di tahap Kelas III daripada Kelas V menurut indeks kualiti air.
Menurut indeks itu, sungai dalam Kelas V digelar sebagai 'sungai mati' dan tidak boleh digunakan secara selamat untuk pengairan pertanian mahupun sumber air kepada manusia dan haiwan.
Air di sungai Kelas III pula boleh digunakan sebagai sumber air selepas dirawat, selain untuk ternakan.
Selain menggunakan Interceptor, Landasan Lumayan juga memasang log boom untuk memerangkap sampah dan sisa pepejal di permukaan Sungai Klang.
Log Boom ialah sistem penghadang yang dipasang di muara untuk memerangkap sisa pepejal.
Syaiful berkata log boom akan memerangkap kebanyakan sisa pepejal dan sampah di Sungai Klang dan Interceptor pula mengutip sisa-sisa yang terlepas.
“Kini kita mempunyai tujuh log boom di Sungai Klang, dari Petaling Jaya ada tiga log boom ke Subang Jaya, Shah Alam dan Klang. Jadi kita sudah nampak hasilnya,” katanya lagi.
Teksi sungai di Sungai Klang
Fasa pertama projek Selangor Maritime Gateway telah dilancarkan oleh Menteri Besar Amirudin Shari bulan lalu. Fasa seterusnya termasuk pemulihan dan pembaikan urban (urban rejuvenation).
Projek itu dijangka selesai pada suku kedua tahun depan.
Untuk fasa kedua, sebuah pusat pelupusan sampah yang sudah tidak beroperasi iaitu Telok Kapas akan dibaikpulih dan akan digunakan untuk projek masyarakat.
Dalam fasa pembaikan urban pula, Taman Awam Pengkalan Batu akan dibangunkan menjadi taman permainan awam. Sebuah taman paya bakau juga akan dibangunkan untuk tujuan ekopelancongan.
Projek itu antara lain melibatkan pembangunan rangkaian teksi sungai di Sungai Klang.