Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SME Bank sedia RM1 bilion untuk kontraktor ECRL tempatan
Diterbitkan:  Nov 18, 2019 10:13 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyediakan RM1 bilion pembiayaan, terutama untuk kontraktor tempatan yang dilantik untuk melaksanakan pakej kerja-kerja awam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata setiap kontraktor tempatan yang layak akan mempunyai akses sehingga RM50 juta gabungan terma pembiayaan dan pusingan kredit.

"Pembiayaan melebihi had RM50 juta akan dinilai berdasarkan kes,” katanya dalam ucapan sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank, Malaysia Rail Link SDN Bhd dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.

MoU tiga pihak itu bertujuan memudahkan penyelesaian pembiayaan untuk subkontraktor Malaysia dalam projek ECRL serta meningkatkan komitmen kerja-kerja awam bagi 40 bahagian penyertaan tempatan projek infrastruktur rel sepanjang 640 km dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.

Lim bekata kemudahan pembiayaan itu adalah yang pertama oleh SME Bank untuk projek ECRL.

Beliau berkata proses prakelayakan untuk kerja-kerja awam ECRL bagi kontraktor tempatan berkelayakan dijalankan pada Mei 2019, dengan 331 kontraktor tempatan disenarai pendek sebagai penender berpotensi.

“Daripada jumlah ini, 234 syarikat atau 71 peratus terdiri daripada syarikat Bumiputera,” katanya.

Pada masa ini, projek ECRL sudah 13 peratus siap dan dijadual siap mengikut jadual pada Disember 2026.

Lim berkata menerusi kontrak perjanjian tambahan Kejuruteraan, Pemerolehan. Pembinaan dan Pengoperasian (EPCC) yang ditandatangani pada 12 April, 2019, kontrak EPCC yang disemak semula menambah bahagian untuk penyertaan dalam kerja-kerja awam ECRL kepada 40 peratus daripada 30 peratus sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan peratusan itu dianggarkan melibatkan RM1.7 bilion.

“Empat puluh peratus kerja-kerja awam itu mewakili kira-kira RM10 bilion daripada nilai projek,” katanya.

Menurut Lim, RM1 bilion daripada SME Bank merupakan bahagian pertama pembiayaan yang disediakan oleh bank itu.

“Jika ada lebih banyak permintaan dari PKS tempatan, sudah pasti bank akan menimbang lebih banyak pembiayaan untuk projek ECRL,” katanya.

Pakej kerja awam ECRL akan terus diluluskan kepada syarikat sepanjang satu hingga dua tahun akan datang, yang akan menggalakkan syarikat pembinaan tempatan memain peranan aktif bagi memastikan projek itu siap mengikut jadual.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS