Kementerian Pengangkutan telah membentuk satu pasukan petugas bagi menyelia langkah-langkah pembetulan dan usaha oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk mendapatkan semula status Kategori 1 selepas diturunkan ke Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), demikian diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini.
Pasukan itu, yang akan diketuai oleh veteran penerbangan, Datuk Ir Kok Soo Chon, akan terdiri daripada pegawai teknikal yang berkelayakan dan pakar antarabangsa dalam penerbangan serta mempunyai pakar dalam pelbagai bidang penerbangan, katanya pada persidangan akhbar di Putrajaya, hari ini.
Dengan objektif untuk mendapatkan semula status Kategori 1, Loke berkata pasukan petugas itu akan melaporkan kepada Menteri Pengangkutan dan ahli pihak berkuasa CAAM berhubung kemajuan dalam menyelesaikan semua hasil penilaian oleh FAA.
Loke berkata Kok akan mencari individu-individu yang relevan untuk menganggotai pasukan petugas tersebut untuk membolehkan pasukan itu memulakan tugasnya dengan segera.
Tiga warga asing dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan dilantik menganggotai pasukan petugas, katanya.
Menurut Loke, Kok bersetuju untuk mengetuai pasukan petugas dengan syarat bahawa dia tidak mahu satu sen pun dari upah dan elaun.
"Saya telah menghubungi beliau yang merupakan seorang veteran dalam bidang aviation dan banyak pengalaman. Beliau bersetuju untuk memberikan khidmat secara percuma kepada kerajaan untuk mengetuai task force ini," katanya.
Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan Malaysia lulus audit FAA pada 2016, Loke berkata maklumat tersebut tidak benar.
"Audit terakhir (FAA) ialah pada 2003...16 tahun ini tidak pernah ada audit dari FAA. Jadi audit FAA yang terakhir ialah 2003 dan ketika itu Datuk Kok adalah Ketua Pengarah (DCA: Jabatan Penerbangan Awam) dan berjaya kekal status Category 1,” kata Loke.
Kok dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia pada 1999 dan bertanggungjawab untuk merumuskan draf perundangan dan rangka kerja bagi penubuhan pihak berkuasa penerbangan awam, pensijilan aerodrome bagi semua enam lapangan terbang antarabangsa dan pensijilan ISO 9000 untuk jabatan itu.
Beliau juga merupakan bekas wakil tetap majlis ICAO di Montreal.
Tidak lama selepas insiden kehilangan pesawat MH370, Kok dilantik sebagai ketua Penyiasat Pasukan Siasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH 370 yang bertanggungjawab bagi pasukan penyiasat antarabangsa yang ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terhadap tragedi itu.
- Bernama