Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tahniah kepada calon BN yang menang besar di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai. Semua jangka BN akan menang di PRK Tanjung Piai tapi terkejut gila dengan kemenangan majoriti 15,086 undi.

Ia tsunami politik PRK yang pasti akan membawa berbagai kesan kepada kerajaan PH termasuk hubungan kepercayaan antara parti komponennya.

Kedua, kemenangan calon MCA/BN kerana kelebihan calonnya Dr Wee Jeck Seng dibandingkan dengan calon Bersatu/PH Karmaine Sardini.

Rekod dan karisma calon MCA benar-benar terserlah apabila dilihat cara penonjolan semasa berkempen apatah lagi sebagai bekas anggota Dewan Rakyat dua penggal yang berkhidmat dengan baik. Bersih dari sebarang isu kontroversi.

Ketiga, pengundi di Tanjung Piai sudah terlalu bosan dan meluap dengan kerajaan PH atas banyak perkara.

Sejak menang PRU14, secara ringkas rakyat sudah memecah tempayan lama kerana bunyi guruh di langit yang kuat. Dijangka hujan akan turun tapi kemarau panjang yang berlaku.

Rakyat berharap kehidupan lebih baik sebagaimana dijanjikan dalam manifesto PH dalam PRU14 tetapi yang berlaku sebaliknya.

Kehidupan rakyat bertambah buruk. Kos sara hidup makin tertekan dan bosan dengan cara politik PH.

Ia menjadikan rakyat naik marah dan terlalu benci kerana asyik menyalahkan lawan tetapi tidak cermin muka sendiri. Saban hari ada saja isu-isu yang memeningkan rakyat.

Keempat, tidak dapat dinafikan juga akar umbi DAP dan PKR bertindak sabotaj calon Bersatu atas berbagai isu yang mereka tidak puas hati. Ini termasuk isu peralihan jawatan PM, isu LTTE, isu buku komik dan lain-lain.

Kesan Muafakat Nasional tak ketara

Kebetulan pula calon BN adalah dari MCA dan darah daging mereka bagi pengundi pengundi bukan Melayu.

Muslihat mereka amat licik kerana DAP sudah menguasai kerajaan dan mahu MCA kembali bertenaga sebagai semak dan imbang untuk kaum bukan Melayu.

Dulu MCA dalam kerajaan dan DAP pembangkang. Kini DAP dalam kerajaan dan mahu MCA menjadi pembangkang yang kuat demi kepentingan kaum mereka. Sebab itulah ada peralihan undi kaum Cina.

Kelima orang Melayu memang mendidih perasaan dengan kerajaan PH. Anak-anak muda Melayu juga turut terkesan apabila banyak isu-isu yang mengancam orang Melayu dan Islam terus dihina.

Urusan perundangan bawah peguam negara yang semua tahu siapa dan urusan kewangan pun semua orang Melayu tahu siapa. Orang Melayu bangkit tolak PH walaupun calon PH orang Melayu.

Kesan wujudnya Muafakat Nasional tidak ketara sangat jika dilihat jumlah majoriti yang amat besar.

Jika majoriti BN sekitar dua hingga tiga ribu, bolehlah dirumuskan kerana terjalin Muafakat Nasional.

Tetapi apakah hujahnya orang Cina yang kuat DAP dan tolak Muafakat Nasional, boleh menyokong dan undi calon MCA/BN?

Tetapi dorongan ke arah orang Melayu sedar betapa bahayanya masa depan mereka dilihat terkesan dari Muafakat Nasional sedikit sebanyak.

Kemenangan PRK Tanjung Piai adalah kemenangan MCA/BN. Sejauh mana pula kehebatan Umno/BN kembali mendapat keyakinan dan sokongan rakyat masih sukar diramalkan secara hakikat dan tersirat.

Sebab-sebab tidak perlu diulas kerana sama-sama tahu.

Sesuatu akan berlaku

Kita percaya selepas keputusan PRK yang luar biasa ini, pasti akan berlaku sesuatu. Mungkin rombakan kabinet yang bakal membawa masuk anggota-anggota parlimen Umno yang melompat masuk Bersatu.

Atau khabar angin yang mengaitkan ada lagi wakil rakyat Umno akan lompat ke Bersatu - yang dikaitkan dengan peranan Hishamudin Hussein - dan kumpulannya menjadi kenyataan.

Sama-sama tunggu dan lihat gelagat politik yang makin tidak menentu. Begitu juga apakah Dr Mahathir Mohamad akan berundur lebih cepat sebagai PM.

Atau beliau terus bertindak mengukuhkan kedudukannya sehingga tamat tempoh di samping bertindak dengan kuasa yang ada bagi menyelamatkan bahtera Bersatu dari tenggelam.

Menarik tetapi memeningkan rakyat.

Pandangan saya ini walahualam tetapi hanya secebis huraian harga 10 sen sahaja.

Salam Putra.


DR IBRAHIM ALI ialah presiden penaja parti Putra.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS