Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Haniff minta MB Perak hentikan 'sandiwara' Yong
Diterbitkan:  Nov 18, 2019 9:57 AM
Dikemaskini: 6:48 AM

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, meminta Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, mengambil tindakan sepatutnya ke atas Adun Tronoh yang menyambung semula tugasnya sebagai exco negeri itu.

Menggelarkan tindakan Paul Yong itu sebagai "sandiwara" Haniff berkata menteri besar wajar bertindak serta-merta kerana ia bercanggah dengan kepentingan umum dan tidak wajar.

Justeru kata peguam terbabit Ahmad Faizal patut menggantung Yong daripada tugasnya sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak.

"Saya sarankan agar Ahmad Faizal memberhentikan serta-merta sandiwara Yong yang langsung tidak ada kepentingan umum, malah biadab kerana mencabuli kuasa dan hak menteri besar, dengan menggantung jawatan sebagai exco Negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 23 Ogos lalu Yong dituduh merogol pembantu rumahnya - seorang warga Indonesia - antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam di rumahnya.

Kejadian itu didakwa berlaku pada 7 Julai lalu. Yong yang juga anggota DAP dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh mengaku tidak bersalah. 

Pada 25 Ogos, selepas mendapat pelbagai desakan ekoran pertuduhan itu, Yong akhirnya mengumumkan bercuti daripada tugasnya sebagai exco untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan agar dapat membersihkan namanya. 

Nampak kurang empati

Bagaimanapun Yong memberitahu dia kembali bertugas tugas sebagai exco pada 15 Nov ini selepas mendakwa ada berbincang dengan Ahmad Faizal.

Yong juga mendakwa langkahnya itu mendapat sokongan daripada menteri besar.

"Sehingga hari ini, saya masih kekal dengan kenyataan saya, iaitu saya tidak terlibat dalam tuduhan terhadap saya dan saya dianiayai, saya merupakan mangsa kepada keadaan.

“Saya amat yakin bahawa terdapat dalang yang telah merancang segala komplot ini yang bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan saya sebagai exco serta mencemar nama baik saya," katanya dalam satu kenyataan. 

Seorang daripada peguam pemerhati yang mewakili ibu mangsa pula memberitahu Malaysiakini, tiada tiada asas perundangan yang menghalang tertuduh daripada meneruskan tugasnya sebagai exco.

"Dia masih boleh meneruskan tugasnya kerana belum disabit bersalah," kata Gabriel Suyasan.

Bagaimanapun Pesuruhjaya Suruhanjaya Nasional Antikekerasan Perempuan Indonesia, Thaufiek Zulbahary, berkata kembalinya Yong sebagi exco berisiko mencetuskan trauma kepada wanita yang didakwa menjadi mangsa dalam kes itu.

"Ia perkara membimbangkan. Langkah berkenaan seperti menunjukkan kurangnya empati kepada mangsa dan keadaan," katanya. 

Paul Yong.

Haniff berkata Yong mesti faham bahawa rakyat Malaysia - terutama di Perak - berhak menuntut dia menghormati urusan mendaulatkan undang-undang.

Tambahan pula, katanya, ketika PH berdepan kekalahan besar di Tanjung Piai pada Sabtu lalu.

Katanya keputusan di Tanjung Piai itu menunjukkan rakyat bertegas mahu kerajaan PH melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

"Sekali lagi saya tegaskan, amat tidak bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan sendiri apabila Yong berasa dia boleh mengumumkan sendiri sendiri untuk kembali bertugas.

"Pihak yang boleh menentukan sama ada mana-mana ahli exco Perak boleh bertugas semula atau tidak hanya menteri besar saja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS