Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pengaruh kuasa besar meningkat di Laut China Selatan cabaran Asean'

Peningkatan pengaruh kuasa besar di Laut China Selatan menimbulkan lanskap maritim yang mencabar di samping memberi kesan yang cukup ketara kepada rantau itu, kata Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu.

Beliau berkata Malaysia bertegas bahawa Laut China Selatan perlu kekal bebas, terbuka dan boleh dilalui secara komersil tanpa sebarang kebimbangan ketenteraan atau permusuhan.

“Malaysia berpegang tuguh dengan pendirian negara-negara Asean untuk melaksanakan secara berkesan dan sepenuhnya deklarasi berhubung tindak tanduk pelbagai pihak di Laut China Selatan (DOC), termasuk menerusi langkah-langkah pembinaan keyakinan, inisiatif, dan kod tatalaku biasa di ruang masitim bagi menggalakan keamanan dan kestabilan,” katanya pada sesi pemukiman Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean ke-13 di sini hari ini.

Sesi pemukiman itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, yang juga bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan Thailand.

Ogos lepas Menteri Luar China Wang Yi berkata Asean dan Beijing telah menamatkan bacaan pertama satu deraf rundingan teks kod tatalaku, dan menurutnya ia adalah perkembangan yang penting dalam rundingan kod tatalaku, dan menjadi langkah kritrikal ke arah matlamat menyiapkan rundingan dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu Mohamad turut membangkitkan kebimbangan Malaysia mengenai krisis Rohingya di Wilayah Rakhine.

Beliau berkata Myanmar seharusnya menangani krisis kehakiman Rohingya bagi mengelak orang awam melarikan diri ke negara jiran, termasuk Malaysia, dan ia boleh memberi kesan terhadap keselamatan di rantau ini.

“Keadaan tidak tenteram kaum Rohingya di Myanmar dan Bangladesh akan menyebabkan mereka berpaling dan menyertai ideologi ekstremisme. Ini memberikan kesan buruk kepada keselamatan dan kestabilan rantau ini,” katanya.

Sementara itu Mohamad turut memuji Myanmar kerana mengambil tindakan berurusan dengan Pusat Penyelarasan Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana (Pusat AHA ) bagi mendapatkan akses kepada proses penghantaran pulang yang selamat buat kumpulan penduduk yang hilang tempat tinggal.

“Malaysia yakin dengan bidang-bidang berpotensi untuk kerjasama yang dikenal pasti oleh Pusat AHA yang boleh disokong seterusnya oleh Asean dan negara-negara sekutunya,” katanya

Sementara itu Mohamad berkata gejala pengedaran dadah, senjata api dan orang, jenayah lanun, rompakan di laut serta penculikan, jenayah yang tidak dilaporkan atau dipantau yang sering dikaitkan dengan jenayah merentasi sempadan; terus mencetuskan kebimbangan Malaysia.

Bagi membanteras keganasan beliau berkata Malaysia menghargai usaha Indonesia melaksanakan “Our Eye Initiatif”, platform perkongsian maklumat bagi negara-negara anggota untuk memudahkan pertukaran risikan berhubung keganasan, radikalisme dan ekstremisme ganas.

“Inisiatif itu memang kena pada masanya bagi negara-negara anggota Asean untuk membanteras keganasan di samping menghadapi cabaran-cabaran bukan tradisional, yang telah meningkatkan kebimbangan di rantau ini,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS