Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco dituduh rogol didakwa 'kembali bertugas tanpa restu DAP'
Diterbitkan:  Nov 17, 2019 8:55 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Exco Perak Paul Yong, yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, berkata beliau boleh memutuskan untuk kembali bertugas kerana beliau pada mulanya bercuti secara sukarela.

Ini selepas rakaman audio, yang dikatakan suara pemimpin kanan DAP Perak muncul. Audio itu membantah Yong atas keputusannya untuk meneruskan bertugas mulai Jumaat, 15 November lalu.

Yong yang bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan Kampung Baru, mula bercuti sejak 25 Ogos lalu.

Dalam rakaman audio sepanjang 19 saat itu, pemimpin kanan DAP Perak tersebut mendakwa Yong - tanpa menamakannya - tidak mendapat restu parti sebelum mengumumkan untuk kembali bertugas.

"Pakai baju seragam DAP, dapat gaji DAP, tetapi menganggap dirinya sebagai orang yang paling besar. Sekarang ini, ada orang boleh mengumumkan kembali bertugas dengan keputusan sendiri.

"Tidak perlu minta (izin) daripada parti. Tak ada sepatah pun perkataan kepada parti. Saya tidak mahu menyebut nama orang itu tetapi semua orang tahu," kata suara itu.

Yong enggan mengulas apabila diminta penjelasan oleh Malaysiakini.

Bagaimanapun, terdahulu Yong dalam satu mesej teks kepada siaran berita Mandarin News NTV7 dipetik berkata beliau mengambil inisiatif sendiri untuk bercuti.

Oleh demikian, katanya cuti tersebut boleh ditamatkan pada bila-bila masa yang difikirkannya sesuai.

Menurut Yong, beliau telah membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu yang tidak mempunyai masalah dengan keputusan kembali bertugas itu.

Exco itu juga berkata keputusan mengenai sama ada beliau dibenarkan kembali bekerja adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Beliau juga mendakwa mendapat restu "pemimpin dari seluruh negara" ketika mengumumkan kembali bertugas sebagai exco, tetapi tidak menjelaskan siapa pemimpin yang dimaksudkannya itu.

Yong mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada 23 Ogos lalu.

Seksyen 376 memperuntukkan jenayah rogol boleh dihukum "dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan."

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS