Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Ada orang luar, dalam parti nak lihat PKR lemah
Diterbitkan:  Nov 16, 2019 7:35 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Anwar Ibrahim mendakwa terdapat pihak yang menunggu untuk melihat PKR lemah yang boleh menyebabkan dirinya tidak layak menjadi seorang pemimpin.

Menurut presiden PKR lagi, ini termasuklah beberapa individu di dalam parti yang tidak dinamakannya.

"Mereka tunggu nak nampak kita lemah, bukan sahaja orang luar juga orang dalam, bila nampak lemah kekuatan Anwar tergugat, Anwar tak layak jadi pemimpin,” kata beliau pada konvensyen bersama PKR Perlis dan Kedah hari ini.

PKR telah dilanda pergeseran berlarutan di antara kem yang selari dengan Anwar dan timbalan presiden Azmin Ali.

Ditambah pula, selepas pilihan raya umum yang lalu terdapat spekulasi bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memilih Azmin sebagai penggantinya walaupun ada perjanjian untuk menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Pada masa ini, kem kepimpinan dalam PKR berbalah soal pembatalan jemputan Azmin untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR (AMK) pada bulan depan.

Azmin mendakwa ada 'tangan ghaib' di sebalik keputusan membatalkan jemputannya untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR (AMK).

'Saya tidak merasa tergugat'

Sementara itu, Anwar berkata beliau tidak merasa terancam dan meremehkan keseriusan pergeseran dalaman itu.

Beliau sebaliknya menyalahkan media kerana memainkan isu itu ketika realiti di berbeza.

"Saudara kalau kekuatan saya tergugat, yang lainpun terpelanting.

"Kena ingat, yang penting, saya tidak merasakan apa-apa gugatan. (Terdapat) satu, dua beza pendapat walaupun saya fikir dia tidak ikut etika yang betul dalam parti, dalam mestuarat setuju," katanya.

Anwar juga mengingatkan hadirin untuk tidak memilih pemimpin yang boleh menawarkan habuan kerana ia boleh melemahkan PKR.

"Nak pilih pemimpin jangan hanya pilih kerana hanya bagi habuan kerana ia akan meranap parti ini.

"Ada orang kata Anwar presiden, dia keluar penjara kita dapat apa, saya bukan menteri sekarang, saya dah bagitahu Dr Mahathir persefahaman saya dengan dia, dia jadi perdana menteri saya sokong, saya tidak mahu apa-apa jawatan dalam kerajaan.

"Giliran saya naik itu saya tahu nak buat kerja, saya tak ganggu sesiapa sekarang," jelasnya.

Anwar turut menegaskan konvensyen PKR Sarawak perlu diteruskan sebagaimana dirancang selepas pengerusi negerinya Baru Bian mengancam untuk membatalkan majlis itu selepas jemputan kepada Azmin dibatalkan.

"Konvensyen sarawak dalam mesyuarat minggu lalu setuju, keluar mesyuarat tabdatangan surat tak setuju, sebab itu bagi saya kita teruskan, kita dengar majoriti ketua-ketua cabang di Sarawak mahu diteruskan konvensyen di Sarawak," katanya lagi.

Baru pada suatu kenyataan semalam berkata pembatalan jemputan kepada Azmin melanggar tradisi parti dan prinsip-prinsip demokratik.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS