Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat palsu minta ahli PKR tak keluar mengundi diedar
Diterbitkan:  Nov 15, 2019 3:41 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

PRK TG PIAI | Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mendakwa musuh politik Pakatan Harapan (PH) mengedarkan surat palsu yang mengandungi pesanan agar anggota PKR tidak keluar mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai esok.

Dalam kenyataan media petang ini, Fahmi berkata surat palsu itu, yang cuba menggambarkan bahawa ia ditandatangani oleh setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail, telah diedarkan secara meluas.

"Surat ini jelas direkayasa musuh politik PH yang mahu mencetus salah faham di kalangan anggota PKR dan rakan-rakan PH.

"Ia adalah tindakan kotor lagi terdesak puak-puak yang enggan berpolitik secara sihat," katanya.

Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, mengulangi sokongan PKR untuk calon PH, Karmaine Sardini.

Beliau menggesa semua ahli PKR untuk membantu dan mengundi untuk memastikan Karmaine dari Bersatu, memenangi kerusi parlimen itu.

Menurut surat itu, biro politik PKR, atas arahan presiden Anwar Ibrahim, memutuskan untuk mengeluarkan perintah kepada anggota untuk tidak mengundi.

"Keputusan ini dibuat dengan tujuan untuk memberi tekanan politik kepada (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad supaya mematuhi perjanjian penyerahan kuasa ...

"Saudara-saudari diminta memaklumkan kepada semua ahli dan pengundi PKR (agar jangan keluar mengundi)," kata surat itu.

Meskipun Mahathir dan Anwar berulang kali menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa itu akan diteruskan seperti yang dijanjikan, timbul spekulasi presiden PKR itu tidak akan diangkat menjadi pengganti perdana menteri.

Surat itu juga hadir ketika ketegangan antara kem Anwar dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali diteruskan lagi dengan pembatalan surat jemputan untuk Azmin merasmikan kongres kebangsaan AMK pada bulan depan.

Kongres itu kini akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan bekas presiden PKR dan isteri Anwar.

Selain Karmaine, calon lain yang bertanding di Tanjung Piai ialah Wee Jeck Seng mewakili BN, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa dan calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula pada 2 Nov lalu dan pengundian akan berlangsung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS