Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK TG PIAI | Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai esok, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mengumpamakan Umno dan MCA sebagai "mangkuk tandas".

Perumpamaan itu digunakan Nga dalam ceramah di Pekan Nanas semalam ketika mengkritik isu pengubahsuaian mewah sebuah pejabat oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) ketika calon BN Wee Jeck Seng menjadi pengerusi organisasi berkenaan.

Nga yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata demikian sebagai merujuk sebutan bahasa Cina kedua-dua parti itu.

“Sebagai Pengerusi LPA, pejabat (Wee) di Kuala Lumpur pula. Malahan dipasang dengan tandas pintar.

“Tetapi pejabat tiada kakitangan, tiada meja kerusi tetapi hanya mangkuk tandas,” kata Nga yang menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Cina.

“MCA mewakili Ma(马), Umno mewakili Tong(桶), maka gabungan Umno dan MCA adalah mangkuk tandas(马桶). Adakah anda sanggup mengundi kepada mangkuk tandas?

“Mangkuk tandas hanya menerima tahi. Kita bukan tahi. Kita tidak makan tahi. Kita adalah pengundi yang bijaksana,” katanya disambut tertawa hadirin yang majoriti bangsa Cina malam semalam.

MCA dalam bahasa Cina berbunyi "Ma Hua", sementara Umno berbunyi "Wu Tong". Sebutan "Ma Tong" dalam bahasa Cina pula membawa maksud mangkuk tandas.

Nga yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menyeru pengundi Tanjung Piai memilih calon yang bersih dan bebas rasuah.

Dua hari lalu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin yang dilantik sebagai pengerusi LPA selepas Wee mendakwa organisasi itu sebelum ini mengeluarkan belanja besar untuk pengubahsuaian sebuah pejabat di Kuala Lumpur yang tak pernah digunakan.

Pengubahsuaian itu termasuk sebuah tandas berteknologi tinggi.

Menurut Chan, kos ubah suai itu mencecah RM343,180.50 dan LPA di bawah Wee mengikat kontrak sewa tiga tahun untuk pejabat itu dengan kos berjumlah RM526,836.96.

Chan menyifatkannya sebagai pembaziran dana dan berkata kontrak itu tidak boleh ditamatkan.

Sementara itu, dalam ucapannya semalam, Nga meminta orang ramai memberi masa yang secukupnya untuk PH dalam melaksanakan agenda pembaharuan.

Kata Nga, kemenangan PRK Tanjung Piai penting untuk meneruskan agenda PH.

“Jikalau PH kalah, saya nak beritahu bahawa masalah akan jadi serius.

“PRK ini adalah bagi menentukan hala tuju masa depan politik Malaysia. Masa depan anak-anak dan cucu-cicit di tangan anda,” katanya.

Tambah Nga, jika BN menang, Najib akan terus menyifatkan PH sebagai kerajaan sepenggal dan akan menjejaskan keyakinan pelabur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS