Paling Popular
Terkini

Walaupun gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung saman pemimpin kanan Amanah kelmarin, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria tetap tenang dan bersemangat meneruskan tugasnya.

Malah Adun Gunong Semanggol itu menyatakan bersedia untuk membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah kepada Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Ya... biasalah, tak ada apa. Tak ada masalah apa, insya-Allah. Kita tunggu bil depa (mereka).

"Kita buat kerja Allah Taala, Insya-Allah tak ada apalah," katanya kepada Malaysiakini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ketetapan Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan dikemukakan Razman berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini.

Saman dikemukan Nizar itu susulan kenyataan Razman dalam artikel disiarkan Sinar Harian berjudul "Tindakan Nizar mirip DAP" pada Jun 2015.

Razman diarah membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 serta kos guaman RM10,000.


Baca PAS yakin bentuk kerajaan di Perak


Sementara itu ditanya sama ada beliau mungkin akan lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan selepas ini, Razman bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Namun, katanya, dia berpengalaman bersama Nizar sebelum ini dan tahu "tindakan" bekas menteri besar Perak itu.

"Saya berpengalaman dengan dia, tahulah macam mana tindakan dia. Masa itu perbualan, kita pun tak sebut perkara itu. Kemudian pemberita pun tak sahkan, dia kata itu interpretasi masing-masing.

"Jadi nak buat macam mana, itu (keputusan) mahkamah dunia tak apalah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS